Kepten Maritim Muhamad Suhairy…Maritim Malaysia komited menangani jenayah di laut.
SANDAKAN : – Sebanyak 67 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan di perairan negara telah direkodkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan bagi tahun 2024
Ini melibatkan jumlah nilai rampasan sebanyak RM90.32 juta dengan 136 orang ditahan dan 26 orang telah didakwa di mahkamah.
Menurut Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy bin Hussain, sebanyak 23,705 pemeriksaan vesel dilakukandengan hampir 52,151 orang telah diperiksa dalam tempoh yang sama.
Mengulas lanjut, Suhairy berkata Maritim Malaysia komited menangani jenayah di laut dalam melaksanakan tanggungjawab untuk menguatkuasakan undang-undang negara termasuk menyelamatkan nyawa dan harta benda di laut.
Ujarnya, Zon Maritim Sandakan turut menjalankan kempen kesedaran keselamatan di laut bagi meningkatkan pengetahuan dan kesedaran komuniti maritim tentang keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut.
“Sepanjang tahun 2024, Zon Maritim Sandakan telah melaksanakan sebanyak 173 Taklimat Pencegahan CARILAMAT (Preventive SAR) iaitu 152 dilakukan oleh aset yang berada di laut dan 21 lagi melaluitaklimat yang dilakukandi sekolah dan pejabat Zon Maritim Sandakan dengan penglibatan melebihi 1,500 orang peserta dari kalangan pelajar, persatuan serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini..
Tambahnya, sebanyak 57 orang dan RM3.21 juta harta benda berjaya diselamatkan sepanjang tempoh 2022 hingga 2024.
“Zon Maritim Sandakan sentiasa meningkatkan kawalan dan kesiagaan di laut bagi mengawal 9,435 km² keluasan Kawasan Tanggungjawab (KTJ) merangkumi panjang pantai 416.3 km bermula dari Pulau Jambongan sehingga ke Pulau Tambisan iaitu sepanjang perairan daerah Beluran, Sandakan dan Kinabatangan untuk memastikan perairan negara selamat dan aman kepada komuniti maritim,” jelas Suhairy.
Beliau turut mengingatkan semua yang berhasrat melakukan aktiviti di laut agar mengambil langkah-langkah keselamatan seperti memakai jaket keselamatan, merujuk ramalan kaji cuaca, memastikan bot dalam keadaan baik, membawa Personal Locator Beacon (PLB), memaklumkan destinasidituju kepada ahli keluarga, membawa bekalan makanan secukupnya serta mengelakkan aktiviti di luar kawasan liputan telekomunikasi.
Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan dan kemalangandi laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan ditalian 089-229504 atau ke talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.