SUKAU : – Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mempertahankan keupayaan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) Plus dalam mentadbir dan mengurus negeri ini dengan baik.
Beliau menegaskan, kerajaan pimpinannya itu tidak gagal melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya selaku pemerintah, meskipun dituduh sebagai kerajaan yang gagal oleh pihak lawan.
Katanya, tuduhan itu tidak lebih sebagai tanggapan pihak atau puak yang tidak suka kepada kerajaan GRS-PH Plus dan enggan menerima hakikat bahawa kerajaan yang ada sekarang berjaya melakar banyak pencapaian.
“Banyak yang sudah kita buat, tapi ada yang cakap kerajaan GRS gagal. Sebenarnya kerajaan GRS tidak gagal, macam mana dikatakan gagal kalau kita mentadbir negeri ini dengan baik.
“Kita dapat tingkatkan hasil kita, melaksanakan pembangunan dan beri bantuan kepada rakyat, meningkatkan bantuan kepada pelajar seluruh Sabah dari Tingkatan Lima dan Enam sampailah ke Universiti.
“Begitu juga dengan PETRONAS, kita berjaya memeterai perjanjian dengan syarikat itu dan ia antara pencapaian kita. Kalau kita tidak pandai urus negeri tidak mungkin ini semua boleh berlaku.
“Kalau kita dianggap kerajaan gagal, itu cuma tanggapan puak yang tidak suka kepada kita,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Ketua Menteri anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sukau di perkarangan Masjid Tun Juhar, Sukau, Kinabatangan pada Sabtu.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Isnin
Haji Aliasnih, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri, Datuk Samad Jamri, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sukau, Datuk Juhari Janan.
Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat, berkata, beliau yakin dengan apa yang dibuat oleh kerajaan hari ini, rakyat sekali lagi akan memberi mandat kepada GRS-PH Plus, termasuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.
“Kita bukan macam pemimpin lain yang suka fitnah dan cakap macam-macam tapi tidak melakukan apa-apa, mereka hanya bercakap kosong dan bohong setiap masa kepada rakyat.
“Saya minta rakyat di Sukau ini jangan percaya kepada pembohongan pemimpin atau puak yang tertentu ini. Kita mahu Sabah terus maju dan atas sebab itu kita perlu sokong GRS – PH Plus,” katanya.
Katanya, rakyat perlu memberi kepercayaan kepada kerajaan GRS-PH Plus pada PRN akan datang dan meyakini gabungan itu akan memenangi pilihan raya itu nanti.
“Kita adil kepada semua kaum dan masyarakat tanpa mengira asal usul mereka dan insyaAlllah kalau diberi peluang, kita akan teruskan kemajuan yang kita rancang melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) termasuk di Sukau, Lamag dan Kuamut di Kinabatangan ini.
“Lupakanlah dulu punya sejarah, kita cuba yang baharu ini pula, insyaAllah kita akan dapat kemajuan seperti yang kita rancangkan. Kita kuatkan perpaduan kita dan buat perubahan untuk Sukau, Lamag dan Kuamut,” katanya.
Bercakap kepada media selepas itu, Ketua Menteri mengulangi keyakinannya terhadap keupayaan Gagasan Rakyat dan parti komponen dalam kerajaan sekarang mencapai yang terbaik selama menjadi kerajaan.
Beliau juga yakin rakyat akan memberi peluang kepada kerajaan pimpinannya untuk meneruskan usaha membangun dan membawa bermacam kebaikan ekonomi dan kesejahteraan kepada rakyat Sabah.
Mengenai Sukau yang kini berstatus daerah kecil, Hajiji menyatakan keyakinannya untuk melihat daerah kecil itu membangun dengan lebih pesat lagi menerusi pentadbiran Pejabat Daerah Kecil yang baharu, khususnya sektor pelancongan yang menjadi kekuatan ekonomi daerah ini.
Pada majlis itu, Hajiji menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf, bag sekolah kepada pelajar, kerusi roda Jabatan Kebajikan kepada para penerima dan kunci rumah SMJ kepada penerima yang layak.
Beliau turut menerima borang keahlian daripada mantan Timbalan Pengerusi Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Sabah, Encik Aksyah Nasrah bersama 11 bekas Ketua Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
Hajiji: Dakwaan Kerajaan gagal hanya tanggapan pembangkang
