Home Berita Kilang KOSAN Tuaran, Papar tutup, 230 pekerja hilang pendapatan

Kilang KOSAN Tuaran, Papar tutup, 230 pekerja hilang pendapatan

Kilang perusahaan pakaian seragam sekolah milik Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) di Tuaran.

TUARAN: Seramai 230 pekerja kilang perusahaan pakaian Tuaran dan kilang kasut Papar milik Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) hilang pekerjaan ekoran pemberhentian operasi dua kilang itu berpunca ketiadaan pembeli produk keluaran syarikat sejak hujung tahun lalu.

Mereka adalah 134 pekerja kilang pakaian Tuaran dan 69 pekerja kilang kasut Papar serta kakitangan ibu pejabat KOSAN ditamatkan perkhidmatan menerusi surat dihantar kepada setiap pekerja pada 14 Oktober 2024.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata sebelum itu produk keluaran kilang pengeluar pakaian seragam dan kasut sekolah itu dibeli kerajaan negeri untuk disumbangkan secara percuma kepada murid semua sekolah di negeri ini.

“Kerajaan Sabah adalah pelanggan utama dua kilang KOSAN yang wujud lebih empat dekad itu.

“Disebabkan kontrak membekal pakaian seragam dan kasut sekolah antara KOSAN dan kerajaan negeri ditamatkan pada April 2024, maka dua kilang terbabit terpaksa memberhentikan operasi pengeluaran,” katanya.

Beliau berkata, penamatan operasi kilang itu disebabkan tiada lagi perniagaan kerana ketiadaan pembeli hasil keluaran selepas kerajaan negeri menamatkan kontrak.

“Seorang bekas pekerja kilang pakaian KOSAN Tuaran menulis surat kepada saya minta campur tangan mencari penyelesaian kemelut 230 bekas pekerja terbabit yang ditamatkan perkhidmatan pada 14 Oktober 2024.

Madius berkata, bekas pekerja terbabit mendakwa penamatan perkhidmatan itu dibuat tanpa mengambil kira hak pekerja mendapat pampasan seperti amalan biasa dalam Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

“Jabatan Tenaga Kerja campur tangan membela hak pekerja dan kini KOSAN terpaksa membayar sejumlah pampasan selain daripada faedah PERKESO kepada bekas pekerja kilang itu,” katanya.

Sehubungan itu, Madius berkata, setiap bekas pekerja kilang itu menuntut serta mendesak supaya pampasan itu dibayar segera kerana mereka berdepan kesempitan hidup selepas hilang pekerjaan.

Katanya, lebih menyulitkan sebahagian besar bekas pekerja kilang KOSAN itu bakal menyambut kedatangan Hari Raya Aidilfitri dan Kaamatan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, agak malang apabila aliran tunai KOSAN tidak mengizinkan untuk menunaikan tanggungjawab membayar pampasan kepada bekas pekerja. – BH

Exit mobile version