Home Berita Azis: Lesen Lincah Hebat Diluluskan Zaman GRS, Bukan Warisan

Azis: Lesen Lincah Hebat Diluluskan Zaman GRS, Bukan Warisan

KOTA KINABALU : – Ketua Penerangan WARISAN Pusat, Datuk Mohd Azis Jamman menegaskan bahawa dakwaan kononnya kerajaan pimpinan WARISAN pernah meluluskan kawasan perlombongan berskala besar kepada syarikat Lincah Hebat Sdn. Bhd. adalah tidak berasas dan cuba mengelirukan rakyat.

Menurut beliau, dokumen yang tular bertarikh 31 Januari 2019 hanyalah surat akuan penerimaan permohonan yang dikeluarkan oleh Pejabat Hasil Bumi, Jabatan Ketua Menteri ketika itu, dan bukanlah surat kelulusan rasmi.

“Saya ingin tegaskan bahawa surat tersebut hanyalah surat maklum balas biasa terhadap permohonan yang diterima. Ia merupakan sebahagian daripada prosedur standard jabatan dalam mengesahkan penerimaan permohonan mana-mana pihak,” jelas Azis dalam kenyataan medianya hari ini.

Penjelasan itu turut disokong oleh mantan Setiausaha Hasil Bumi, Datuk Haji Mohd Salleh Haji Abbas yang menyatakan bahawa surat itu tidak membawa sebarang makna kelulusan.

Tambah Azis, kelulusan sebenar untuk lesen perlombongan kepada Lincah Hebat Sdn. Bhd. hanya dikeluarkan pada 20 Januari 2025 semasa pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Kalau benar GRS tidak bersetuju dengan permohonan tersebut, mengapa lesen itu diluluskan lima tahun kemudian?” soal beliau sambil mencabar GRS mendedahkan semua dokumen berkaitan termasuk laporan impak alam sekitar, butiran pemilik syarikat serta justifikasi kelulusan lesen.

Beliau turut menyatakan bahawa rakyat Sabah berhak mengetahui siapakah pemilik sebenar Lincah Hebat Sdn. Bhd., pihak yang melobi permohonan tersebut, serta individu atau kumpulan yang bakal meraih manfaat daripada projek berkenaan.

“Tindakan mengaitkan Kerajaan WARISAN dalam isu ini jelas merupakan usaha mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar yang sedang melanda pentadbiran GRS, termasuk dakwaan berkaitan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya lagi.

Azis menyeru semua pihak supaya menilai fakta berdasarkan bukti dan tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak berasas sambil menegaskan komitmen WARISAN untuk terus mentadbir dengan telus demi kepentingan rakyat Sabah.

Exit mobile version