Dr Yusof menyaksikan Madius menandatangi plak, simbolik perasmian Pejabat Baharu Sabah Electricity Kawasan Sipitang.

Dr Yusof bersama Madius dan Mohd Yaakob bergambar selepas majlis perasmian.
SIPITANG : – Sebanyak 275 tiang elektrik akan dipasang di 13 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri Sindumin untuk rumah penduduk kampung yang belum mendapat bekalan elektrik.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata, ia diperolehi dibawah peruntukan dibawah Kerajaan Persekutuan menerusi permohonan yang dibuat dengan kerjasama Sabah Electricity.
“Ini sudah tentu akan memberi manfaat di beberapa rumah penduduk kampung sedia ada yang sebelum ini tiada bekalan elektrik disebabkan tiada tiang elektrik.
“Pihak kontraktor sudah dilantik untuk melakukan pemasangan tiang elektrik di kampung terlibat,” katanya pada Majlis Perasmian Pejabat Baharu Sabah Electricity Kawasan Sipitang, semalam.
Perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Sabah Electricity Datuk Seri Panglima Madius Tangau.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Ir.Ts Mohd Yaakob Jaafar.
Dalam pada itu, Dr Yusof yang juga Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad meminta Sabah Electricity menerusi tanggungjawab sosial korporat membantu pemasangan tambahan tiang elektrik untuk beberapa rumah baharu di daerah ini untuk mendapat bekalan elektrik.
Katanya, ketika ini rumah terbabit hanya menggunakan lampu solar dan tidak dapat menggunakan peralatan elektrik lain seperti peti ais.
Mengenai pembukaan Pejabat Baharu Sabah Electricity Kawasan Sipitang, beliau yakin ini akan dapat meningkatkan lagi operasi petugas Sabah Electricity di daerah ini.
Katanya, ini juga akan memudahkan pengguna di daerah berurusan dengan Sabah Electricity termasuk membuat aduan jika berlaku masalah berkaitan bekalan elektrik.
Beliau juga mahu Pegawai dan Staf Sabah Electricity di kawasan itu selalu turun di lapangan khususnya berkaitan penyelengaran kabel elektrik dan tiang yang masih banyak ditutupi dahan dan pokok.
Menurutnya, pembersihan dahan dan pokok yang menutupi kabel dan tiang elektrik harus selalu dilakukan bagi mengelakkan berlaku gangguan bekalan elektrik.