
Jannie Lasimbang bersama peserta Program ‘Sew and Save’ baru baru ini
KOTA KINABALU: Aktiviti belajar menjahit kini dibuka kepada kaum lelaki dalam program ‘Sew and Save’ tajaan Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Aduan) Kapayan Jannie Lasimbang berkata, kaum lelaki mesti merebut peluang ini untuk belajar kegiatan yang biasa dilakukan wanita.
“Program ini dibuka kepada semua lelaki. Saya berharap ada peserta lelaki akan mengikuti kursus ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Katanya, sejak memulakan program ini pada Mei, penganjur sudah menjalankan lima sesi latihan yang melibatkan 50 peserta.
“Semua peserta mendapat latihan secara praktikal daripada tenaga pengajar di Pusat Latihan Jahitan Epal,” jelas Jannie dan menambah program ditaja sepenuhnya oleh ADUN Kapayan dengan kerjasama Pusat Latihan Jahitan Epal.
Melalui program kemasyarakatan ini katanya, konsep “Upcycle, Recycle, Repurpose dan Reduce,” (Kitar naik, kitar semula, guna semula dan kurangkan) menjadikan pakaian lama dapat diolah semula.
“Melalui progam ini kita dapat melihat bagaimana pakaian lama dapat diolah semula untuk membantu mengurangkan masalah sisa tekstil yang semakin membimbangkan.
“Pakaian lama merupakan antara sisa buangan terbesar di dunia dan program ini menjadi langkah kecil tetapi penting untuk menangani isu sampah berlebihan,” katanya.
Lasimbang berkata beliau sangat gembira dapat memberi ruang dan sokongan kepada para wanita dan lelaki melalui kursus yang ditaja pejabatnya.
Beliau menekankan bahawa program ini terbuka kepada semua lelaki dan wanita yang ingin belajar dan berkongsi pengalaman bersama-sama melalui aktiviti domestik yang memberikam banyak manfaat.
“Terima kasih kepada semua yang telah terlibat dalam menjayakan program ini. Saya berharap semoga ilmu yang dikongsi terus memberi manfaat kepada semua,” katanya.