Home Berita Presiden Warisan nafi lupus NPL semasa jadi Ketua Menteri Sabah

Presiden Warisan nafi lupus NPL semasa jadi Ketua Menteri Sabah

Shafie Apdal…tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah serta mencemarkan nama baiknya.

KOTA KINABALU : – Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan dakwaan sebuah portal yang mengaitkannya dengan pelupusan pinjaman tidak berbayar (NPL) semasa beliau menjawat jawatan Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi Lembaga Pengarah Sabah Development Bank (SDB).

Menurutnya, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan bermotif jahat yang bertujuan merosakkan reputasi beliau.

“Tuduhan ini adalah pembohongan semata-mata yang direka untuk mengelirukan rakyat dan mencemarkan nama baik saya.

“Sepanjang tempoh saya menerajui kerajaan negeri, tidak ada satu pun NPL yang dilupuskan. Setiap keputusan kewangan tertakluk kepada proses dalaman bank dan penilaian kredit yang ketat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau menegaskan bahawa sebagai Ketua Menteri, beliau tidak mencampuri urusan harian atau keputusan pinjaman khusus di SDB kerana institusi awam seharusnya dikendalikan secara profesional dan bebas daripada pengaruh politik.

“Tuduhan bahawa saya melindungi kroni atau memberikan layanan istimewa kepada peminjam yang mempunyai hubungan politik adalah satu pembohongan.

“Saya tidak pernah campur tangan dalam kelulusan pinjaman atau sebarang urusan kewangan bank,” tegasnya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie menyifatkan dakwaan kononnya beliau melupuskan pinjaman bernilai RM178 juta kepada sebuah pihak sebagai satu putar belit fakta yang disengajakan.

“Hakikatnya, sepanjang pentadbiran saya, segala langkah telah diambil untuk memulihkan pinjaman bermasalah, bukan menutupnya.

“Melupuskan pinjaman tidak berbayar secara sembarangan adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan satu pengkhianatan terhadap amanah rakyat.

“Mereka yang selama ini mengaut keuntungan daripada pinjaman berunsur kronisme dan memperlakukan bank awam seperti mesin wang peribadi, merekalah yang kini giat memesongkan kebenaran,” katanya.

Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar melihat kebenaran di sebalik fitnah yang menurutnya bertujuan mengalihkan perhatian dan melepaskan diri daripada kegagalan sendiri.

“Saya tidak takut untuk disiasat secara bebas dan telus. Namun, saya tidak akan berdiam diri apabila pembohongan terus diulang dan dijaja demi kepentingan politik.

“Saya juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terus menyebarkan fitnah serta mencemarkan nama baik saya,” katanya.

Exit mobile version