Home Berita Emin Madi: PGDK penghargaan amat besar Negeri Sabah untuk diri, Bernama

Emin Madi: PGDK penghargaan amat besar Negeri Sabah untuk diri, Bernama

Emin menerima anugerah PGDK daripada Tun Musa Aman.

KOTA KINABALU: – Wartawan berpengalaman Datuk Emin Madi juga Pemberita Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Sabah menyifatkan anugerah Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) diterimanya sebagai penghargaan amat besar buat dirinya dalam dunia kewartawanan.

Emin, 75, berkata PGDK yang membawa gelaran Datuk itu juga dilihat sebagai pengiktirafan yang amat tinggi daripada pihak kerajaan Sabah kepada Bernama secara keseluruhan, terutama petugas Biro Sabah yang beroperasi di negeri ini.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas penganugerahan ini kepada golongan wartawan di Sabah. Saya percaya ramai lagi wartawan mahupun penulis yang ayak mendapat anugerah seperti ini,” katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.

Beliau ditemui selepas Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang, dan Pingat
Kehormat Negeri Sabah 2025 di Istana Seri Kinabalu menyaksikan 60 individu menerima
Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat masing-masing disempurnakan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan barisan pemimpin kerajaan negeri.

Selain Emin, dua petugas Bernama Biro Sabah iaitu Ketua Biro Sabah Fadzli Ramli
dikurniakan Ahli Darjah Kinabalu (ADK) dan Jurufoto Biro Sabah Zamain Singkui dikurniakan Bintang Setia Kinabalu (BSK), yang bakal mereka terima pada sesi seterusnya selepas ini.

Dilahirkan di Tambunan pada 29 Nov 1949, Emin memulakan kerjayanya sebagai wartawan
pada tahun 70an sebelum menjadi editor di sebuah syarikat akhbar tempatan iaitu Sabah Times dan pernah menjadi Setiausaha akhbar kepada bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam.

Bapa kepada dua orang anak itu menyertai Bernama sejak tahun 90an sehingga kini dan
telah menghasilkan pelbagai artikel penulisan dalam bahasa Melayu dan Inggeris selain
menghasilkan novel antaranya Salarom dan The Green Gold of Borneo.

Novel nukilan beliau Salarom, pernah memenangi tempat ketiga Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun Merdeka pada 2008, yang mana tiada pemenang tempat pertama dan kedua dalam pertandingan itu. Bernama

Exit mobile version