SANDAKAN : – Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong, menggesa Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) agar menggubal dan melaksanakan peraturan kawal selia set janakuasa berdasarkan keperluan semasa di Sabah.

Vivian yang juga setiausaha DAP Sabah berkata peraturan bukannya terus meniru bulat-bulat garis panduan lama Suruhanjaya Tenaga (ST), yang akhirnya membebankan rakyat secara tidak wajar.

Vivian membuat gesaan tersebut selepas menghadiri taklimat yang dikendalikan oleh Pengarah Wilayah Pantai Timur ECoS, Ir. Ts. Norice @ Mohd Nazrie Bin Itom @ Marcus, di Wisma Saban pada Jumaat.

Menurut beliau, sejak kebelakangan ini, beliau telah menerima banyak aduan daripada para peniaga dan penduduk yang mempersoalkan kewajaran kekerapan pemeriksaan terhadap set janakuasa yang dikenakan oleh ECoS, serta kos tinggi yang perlu ditanggung.

Mengikut peraturan semasa, selain daripada pembaharuan lesen tahunan bagi set janakuasa, mana-mana pemilik set janakuasa berkapasiti tidak melebihi 600 volt perlu melantik juruelektrik bertauliah untuk menjalankan pemeriksaan dan menghantar laporan kepada ECoS setiap bulan. Bagi kapasiti melebihi 11,000 volt, laporan perlu dikemukakan empat kali sebulan, dengan setiap laporan dianggarkan menelan belanja antara RM400 hingga RM500.

“Kami tidak menolak keperluan penguatkuasaan keselamatan, namun ia mesti bersandarkan kepada asas yang munasabah dan perlu. Majoriti set janakuasa di sektor swasta atau komersial hanya dipasang sebagai langkah kecemasan semasa gangguan bekalan elektrik, bukannya digunakan secara berterusan. Maka tidak wajar pemilik dipaksa menanggung beban kewangan pemeriksaan berkala yang berlebihan,” katanya.

Vivian mencadangkan agar ECoS memperkenalkan garis panduan yang lebih fleksibel, seperti melaksanakan pemeriksaan mengejut secara rawak serta memperketatkan penguatkuasaan terhadap pelanggaran. Pendekatan ini menurutnya lebih efektif dan tidak membebankan pengguna yang patuh kepada peraturan.

Beliau turut menegaskan bahawa memandangkan ECoS adalah agensi milik penuh kerajaan negeri Sabah, maka ia seharusnya mengamalkan pendekatan tadbir urus yang lebih mesra rakyat dan berpandangan jauh, dengan menggubal dasar yang selari dengan realiti tempatan serta keperluan masyarakat semasa, dan tidak terikat dengan birokrasi lapuk.

Exit mobile version