Home Berita PKR Penampang puji sikap PM

PKR Penampang puji sikap PM

Joseph Chang…sikap Perdana Menteri menunjukkan keperibadian terpuji.

PENAMPANG: PKR cabang Penampang memuji sikap peri kemanusiaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani isu protes dan bakar karikatur wajahnya dalam perhimpunan aman anjuran penuntut universiti di sini, minggu lalu.

Ketua PKR cabang Penampang Joseph Alex Chang berkata, perdana menteri itu menunjukkan keperibadian terpuji kerana walaupun pelajar menghinanya dengan membakar karikatur, beliau tidak bertindak dengan menghukum mereka.

“PM kita mempamerkan sikap kebapaan dengan tidak mengenakan hukuman kepada mereka. Beliau faham pelajar ini perlu belajar dan tidak mahu masa depan akademik mereka terjejas,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Minggu lalu, sekumpulan mahasiswa Universiti Malaysia (UMS) mengadakan perhimpunan Protes Gempur Rasuah Sabah 2.0 di mana lebih 100 orang berhimpun menggesa tindakan diambil ke atas skandal jabatan air Sabah.

Protes itu adalah anjuran beberapa pelajar UMS dan diakhiri dengan membakar karikatur Anwar. Polis dikatakan menyiasat kes pembakaran karikatur itu di bawah Akta Hasutan 1948 dan Kanun Keseksaan.

Ramai menggesa termasuk ahli politik dan aktivis supaya pelajar terbabit dikenakan tindakan namun Anwar mahu mahasiswa universiti yang terbabit, termasuk yang membakar karikatur tidak dikenakan tindakan termasuk, dibuang universiti.

Anwar dilaporkan sebagai berkata: “Mereka mungkin membuat kesilapan tetapi masa depan dan pengajian mereka jauh lebih penting dan perlu diutamakan.”

Menurut Chang, beliau setuju dengan tindakan Perdana Menteri itu kerana jika mahasiswa terbabit dikenakan tindakan termasuk dibuang universiti, ia akan memberi impak lebih teruk ke atas masa depan mereka.

PM katanya, mempertahankan hak untuk mengadakan perhimpunan aman, sindiran dan aktivisme pelajar.

Chang menasihatkan kepada warga pelajar di negeri ini supaya sentiasa menuruti undang-undang dan bagi penuntut di menara gading, mereka boleh menyuarakan kekecewaan mereka mengikuti saluran yang betul.

Exit mobile version