Home Berita Menteri WP nafi Madius dilantik Pengerusi baharu Perbadanan Labuan

Menteri WP nafi Madius dilantik Pengerusi baharu Perbadanan Labuan

Zaliha…Beberapa individu berpotensi sedang dinilai secara teliti untuk jawatan Pengerusi

LABUAN : – Tiada sebarang pelantikan dibuat setakat ini tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menafikan khabar angin bahawa Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau telah mengisi jawatan sebagai Pengerusi baharu Perbadanan Labuan.

Beliau menjelaskan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Wilayah Persekutuan masih dalam proses menilai beberapa calon berkelayakan untuk mengisi jawatan kepimpinan di pihak berkuasa tempatan Labuan itu.

“Khabar angin dan spekulasi yang tular mengenai Ahli Parlimen Tuaran akan memegang jawatan tersebut adalah tidak benar.

“Beberapa individu berpotensi sedang dinilai secara teliti untuk jawatan Pengerusi,” katanya dalam kenyataan memetik laporan Bernama.

Tegas Zaliha, kerajaan komited dalam mengenal pasti calon paling sesuai yang mampu berkhidmat demi kepentingan pembangunan sosioekonomi Labuan.

“Kami benar-benar memberi perhatian terhadap pemilihan calon terbaik untuk menerajui Perbadanan Labuan, iaitu seseorang yang berkeupayaan memacu pertumbuhan pulau ini dan memenuhi keperluan komuniti setempat,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak berasas dan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penduduk Labuan.

Jawatan Pengerusi PL kini kosong susulan tamatnya tempoh perkhidmatan bekas Ahli Parlimen Kimanis, Tan Sri Anifah Aman bulan lepas.

Anifah Aman telah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Labuan bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 19 Jun 2023. – scoop.com

Exit mobile version