Home Berita PIBG digesa jadi nadi suara Wakil Rakyat

PIBG digesa jadi nadi suara Wakil Rakyat

Joniston bersama wakil wakil 24 PIBG yang menerima sumbangan kewangan daripada Pusat Khidmat ADUN Kiulu.

Joniston…PIBG jambatan menghubungkan masyarakat dengan pemimpin kawasan.

KOTA KINABALU : – Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) digesa memainkan peranan proaktif sebagai penaung idea dan cadangan kepada wakil rakyat demi kemajuan sekolah, pelajar dan komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai berkata PIBG bukan sahaja berperanan sebagai penyokong kepada pihak sekolah, malah perlu menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat dengan pemimpin kawasan.

“PIBG harus terbuka dalam menyuarakan pandangan serta cadangan-cadangan membina yang boleh dimanfaatkan oleh pihak sekolah dan juga wakil rakyat.

“Saya percaya suara PIBG mencerminkan keperluan sebenar komuniti,” katanya semasa Majlis Penyampaian Sumbangan kepada PIBG sekolah-sekolah di kawasan N.15 Kiulu di sini, pada Jummat.

Joniston, yang merupakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar,  berkata guru perlu terlibat dalam pembangunan menyeluruh pelajar dan masyarakat, manakala ibu bapa digesa menyokong usaha yang bermanfaat untuk anak-anak mereka.

“Kita mahu kedua-dua pihak saling melengkapi dalam memacu kecemerlangan anak-anak bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga sahsiah dan kesedaran komuniti.

“Ini penting lebih-lebih lagi ketika Kiulu sedang giat membangun dalam sektor pelancongan luar bandar, pertanian dan seterusnya ke arah perkilangan,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan yang berlaku selari dengan pelaksanaan Pelan Sabah Maju Jaya memerlukan sokongan dan penglibatan aktif seluruh komuniti, termasuk institusi sekolah, bagi memastikan generasi muda bersedia menyambut peluang yang diwujudkan.

Pada majlis itu, sebanyak 24 PIBG sekolah rendah menerima sumbangan daripada Pusat Khidmat ADUN Kiulu sebagai galakan untuk terus menganjurkan aktiviti yang bermanfaat kepada pelajar dan komuniti.

Joniston turut merakamkan penghargaan kepada warga pendidik di Kiulu atas dedikasi mereka dan menyeru agar semangat kerjasama antara sekolah, PIBG dan pemimpin setempat terus diperkukuhkan demi masa depan yang lebih baik.

Exit mobile version