Jaffari menyampaikan bantuan bakul makan kepada seorang penduduk.
SANDAKAN : – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Jaffari Waliam, hari ini merasmikan Program Kejohanan Futsal Kampung Jaya Bakti, Gum-Gum, yang diadakan sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2025.
Program anjuran Pusat Khidmat ADUN Dilantik dengan kerjasama Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Bahagian Sandakan dan Beluran itu bukan sahaja memberi ruang kepada golongan belia melibatkan diri dalam aktiviti riadah sihat, tetapi turut memperkukuh semangat perpaduan masyarakat setempat.
Dalam majlis sama, Datuk Jaffari turut menyampaikan bantuan berupa 70 keping zink, 90 keping papan lapis (plywood) serta 97 bakul makanan kepada penduduk yang layak menerimanya.
Menurut beliau, pengisian seumpama ini menggambarkan erti sebenar sambutan Bulan Kebangsaan yang bukan sekadar perarakan atau kibaran bendera, tetapi juga menzahirkan rasa prihatin terhadap kebajikan rakyat.
“Kita mahu semangat kemerdekaan diterjemahkan melalui tindakan nyata – membantu rakyat, memperkukuh perpaduan dan memberi peluang kepada belia untuk mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah seperti sukan,” katanya.
Jaffari menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan masyarakat luar bandar, termasuk menyediakan bantuan keperluan asas dan menyokong program pembangunan belia.
Beliau turut menyeru agar generasi muda terus bergiat aktif dalam bidang sukan kerana ia mampu membentuk disiplin diri, semangat berpasukan dan jati diri yang kuat, sekali gus melahirkan belia berdaya saing.
Program itu mendapat sambutan meriah dengan penyertaan pasukan futsal dari sekitar Sandakan dan Beluran serta kehadiran ratusan penduduk yang bersama-sama memeriahkan acara berkenaan.