Wakil yang menyerah borang keahlian di Inanam bergambar bersama pemimpin utama Warisan.

KOTA KINABALU : – Seramai 400 orang menyertai Parti Warisan dalam satu majlis penuh meriah sempena Pesta Tanglung di Inanam pada Ahad.
Borang keahlian itu diterima oleh Ketua Bahagian Parti Warisan Sepanggar merangkap Ketua Penerangan Warisan Sabah Datuk Mohd Azis Jamman.
Majlis ini adalah anjuran Warisan Inanam yang dipengerusikan oleh Lewis Wong.
Wong dalam ucapan alu-aluannya berterima kasih kepada semua penyokong kaum Cina yang hadir di majlis itu dan seterusnya menjadi ahli parti yang membawa moto ‘Warisan Solo bergabung dengan rakyat.’
“Kita mencipta sejarah di Inanam hari ini. Kita adalah seperti satu keluarga besar tanpa mengira kaum dan kepercayaan. Kita mesti bersatu bagi memastikan parti ini sentiasa relevan dan kuat,” katanya.
Seperti juga kisah dalam Pesta Tanglung katanya, ia menceritakan bagaimana perpaduan satu hati rakyat melawan penindasan pemimpin dapat dikalahkan dengan jayanya.
Majlis turut dihadiri oleh dua Naib Presiden Warisan iaitu Datuk Junz Wong dan Terence Siambun dan ketua-ketua masyarakat Cina Inanam.
Sementara itu, dalam ucapannya Datuk Azis bangga yang penduduk Sabah yang berbilang kaum masih dapat duduk satu meja tanpa perbezaan dan dalam keadaan aman damai.
“Ini adalah identiti kita dari dahulu lagi. Jika dibandingkan dengan negeri lain saya rasa sabah adalah negeri contoh yang membawa mesej Satu Malaysia. Semenanjung melihat kita sebagai satu contoh dan tauladan perpaduan yang terbaik.
“Marilah kita pertahankan identiti ini dan tunjukkan kepada mereka bahawa Sabah adalah negeri yang aman damai walaupun kita mempunyai pelbagai kaum, agama dan perbezaan politik,” katanya menambah rakyat Sabah amat bersopan dan penuh dengan sikap toleransi tinggi.
Azis berkata, Sabah datang daripada sejarah dan semua patut belajar daripadannya dan bukan mengulangi kesilapan.
Beliau mengintai kenangan di mana pengundi Inanam memberikan kepercayaan kepadanya apabila memilihnya dalam pilihan raya pada 2018 dengan menumbangkan Datuk Abdul Rahman Dahlan.
“Kemenangan itu adalah pengalaman yang saya tidak akan lupakan. Oleh itu saya amat menghargai sokongan pengundi dari daerah Inanam ini. Saya berharap penduduk di sini yang bijak akan terus memberi sokongan kepada Warisan.
“Dan pilihan raya umum negeri akan diadakan tidak lama lagi. Paling lama pun kita mengundi tiga bulan dari sekarang. Sekali lagi Sabah akan menjadi tumpuan. Kali ini kita akan memilih Ketua Menteri di mana dia akan mentadbir kita dalam selama lima tahun.
“Ini adalah peluang kita untuk memilih kerajaan yang baik untuk memimpin kita selama lima tahun. Kita mesti bergerak ke hadapan. Apa yang berlaku di Sabah, hanya orang Sabah sahaja yang akan merasainya,” katanya.
Mengenai pakatan dalam pemerintahan dengan blok-blok di Kuala Lumpur, Azis berkata sesiapa sahaja yang dapat memberikan apa yang diminta Sabah itulah yang akan diterima nanti.