Home Berita Harga RON95 RM1.99 seliter mulai 30 September ini: PM

Harga RON95 RM1.99 seliter mulai 30 September ini: PM

Perdana Menteri berkata inisiatif Budi Madani RON95 itu akan memanfaatkan warganegara berusia 16 tahun yang mempunyai lesen memandu sah.

KUALA LUMPUR : – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan dikurangkan kepada RM1.99 seliter mulai 30 September ini di bawah program Budi Madani RON95 (Budi95).

Beliau yang juga menteri kewangan berkata semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi itu dengan pengesahan menggunakan MyKad atau menerusi aplikasi stesen minyak.

Perdana Menteri berkata, bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh yang sama.

“Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 september 2025 dan saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

“Mulai 30 September (juga), bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi kerana ikut perseorangan, itu bermula 30 September pada harga RM2.60,” katanya.

Pengumuman Anwar pada perhimpunan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya hari ini selaras kenyataannya pada 23 Julai lalu untuk menetapkan harga RON95 lebih rendah.

Kerajaan mengapungkan harga bahan api itu pada kadar RM2.05 seliter sejak 2021 dan dijangka memanfaatkan 18 juta rakyat.

Perdana Menteri turut mengumumkan warga polis, tentera nikmati subsidi RON95 RM1.99 seliter bermula 27 September, manakala penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September bagi mengelakkan kesesakan.

Jelas Perdana Menteri lagi, semua rakyat akan menerima siling kelayakan bulanan Budi95 sebanyak 300 liter tetapi pemandu e-hailing dikecualikan daripada had tersebut dan boleh memohon untuk had yang lebih tinggi.

Beliau berkata subsidi RON95 akan dinikmati tanpa mengambil kira tahap pendapatan, sebagai penghargaan kepada semua rakyat.

Anwar berkata, pelaksanaan Budi95 dibuat atas tiga faktor iaitu manfaat untuk rakyat bagi membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah berdepan kos sara hidup.

Tegasnya, pelaksanannya juga bagi memastikan penyaluran subsidi lebih adil dengan memastikan hanya rakyat Malaysia menerima manfaat, bukan warga asing atau syarikat besar.

“Ini juga langkah reformasi kerajaan Madani yang fokus dan kekal komited mengurangkan ketirisan dalam pengurusan kewangan negara sekali gus memperkukuh kedudukannya untuk berdepan cabaran ekonomi global semakin rumit.

“Apa yang saya ingin tekankan, Budi95 ini melindungi hak rakyat Malaysia. Manfaat ini adalah untuk kita, rakyat Malaysia nikmati bersama,” katanya.

Anwar berkata, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan menjelaskan perincian berhubung pelaksanaan inisiatif itu esok. – scoop.my

Exit mobile version