KOTA KINABALU : – Presiden STAR, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, beliau menghormati keputusan lima pemimpin mereka yang memilih unruk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, setiap individu mesti bertindak mengikut hati nurani masing-masing dan beliau juga tidak terkejut dengan tindakan lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit.
“Saya telah melihat perkara ini sebelum ini dan saya tidak terkejut. Dalam hidup saya, saya sering berjalan seorang diri.”
“Tiada yang baru tentang ini, apa yang penting bukanlah berapa ramai yang berjalan di sisi saya, tetapi sama ada jalan itu betul, dan saya kekal di jalan itu.”
“Sesetengah orang mungkin mengambil jalan yang lebih mudah, tetapi saya akan terus berada di jalan yang membawa kepada keadilan untuk Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Ketua menteri sementara Hajiji Noor mengesahkan bahawa Timbalan Presiden Sabah Star Datuk Ellron Angin (Sook) dan Datuk Robert Tawik (Bingkor), serta Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Annuar Ayub (Liawan), Datuk Flovia Ng (Tulid) memilih untuk bersama GRS walaupun parti mereka dipecat secara automatik daripada gabungan itu selepas memilih untuk menggunakan logonya sendiri.
Jeffrey berkata, walaupun lima pemimpin itu meninggalkan STAR, beliau tetap menganggap mereka sebagai rakan dan mendoakan yang terbaik untuk mereka.
Beliau turut menegaskan yang perjuangannya bukan berdasarkan kedudukan atau keselesaan, tetapi berdasarkan maruah, keadilan serta harapan yang belum dipenuhi oleh rakyat Sabah, yang berhak mendapat yang lebih baik.
“Misi saya tetap sama, saya akan terus berdiri untuk Sabah dan berkhidmat kepada rakyatnya dengan jujur dan berani.
“Mereka yang memilih arah lain tetap menjadi rakan saya, dan saya mendoakan yang terbaik untuk mereka.”
“Walau bagaimanapun, tugas saya adalah jelas, perjuangan diteruskan dan akhirnya, rakyatlah yang akan memutuskan. Pilihan raya negeri ini akan menjadi referendum untuk Sabah, sama ada kita kekal tunduk kepada Malaya atau berdiri bebas dan merdeka,” katanya lagi.