Home Berita Penyanyi Lotter P Edwin @ Dudu meninggal dunia

Penyanyi Lotter P Edwin @ Dudu meninggal dunia

Naib Juara AF-4

KOTA KINABALU : –  Dunia hiburan tanah air, khususnya di Sabah, dikejutkan dengan berita pemergian bekas pelajar Akademi Fantasia 4 dan Penyanyi Kumpulan The Divine Master, Lotter, yang disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.50 malam tadi di Hospital Queen Elizabeth 1 Kota Kinabalu.

Menurut sumber terdekat, Beliau dimasukkan ke hospital di Kota Kinabalu awal pagi semalam selepas mengalami kesukaran bernafas sekitar pukul 7.30 pagi.

Pihak perubatan segera memberikan rawatan kecemasan dan pemantauan rapi sebaik beliau tiba di hospital.

Bagaimanapun, keadaan Lotter dilaporkan semakin kritikal menjelang petang apabila doktor mengesahkan tahap kesihatannya merosot sekitar pukul 5.31 petang. Usaha menyelamatkan nyawanya dilakukan melalui bantuan CPR selama kira-kira 10 minit, namun beliau akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada malam yang sama.

Berita duka ini mengundang kesedihan mendalam dalam kalangan rakan-rakan artis dan peminat yang mengenali beliau sebagai seorang yang periang, berbakat besar dan sentiasa merendah diri.

Untuk rekod, Lotter atau nama sebenarnya Lotter P. Edwin Edin, turut dikenali dengan panggilan mesra Dudu, dilahirkan pada 30 April 1982 dan berasal dari Membakut, Sabah.

Beliau mula dikenali ramai menerusi rancangan realiti popular Akademi Fantasia musim ke-4 (AF4) pada tahun 2006 serta merangkul gelaran naib juara bagi program tersebut.

Beliau juga merupakan bekas penyampai radio Suria FM dan VOK FM.

Pemergian Lotter merupakan satu kehilangan besar buat industri seni tanah air khususnya di Sabah.

Salam Takziah diucapkan buat seluruh kaum keluarga dan rakan taulan.

Exit mobile version