Home Berita Madius Bangkit Isu Kesesakan Jalan Utama Di Tamparuli

Madius Bangkit Isu Kesesakan Jalan Utama Di Tamparuli

Minta Kerajaan Pusat Ambil Maklum Cadangan Naik Taraf Jalan Tamparuli–Ranau

KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, membangkitkan isu kesesakan jalan raya di laluan utama Tamparuli dalam sesi pertanyaan lisan Persidangan Parlimen Dewan Rakyat di sini, baru-baru ini.

Beliau meminta penjelasan daripada Menteri Kerja Raya mengenai langkah-langkah yang dirancang oleh kementerian untuk mengatasi kesesakan di sepanjang laluan Pekan Nabalu ke Pekan Tamparuli serta Bulatan Berungis ke Pekan Tamparuli, di samping memohon penjelasan tentang perancangan menaiktaraf Jalan Tamparuli–Ranau menjadi lebuh raya.

Dalam jawapan bertulis, Kementerian Kerja Raya  (KKR) memaklumkan bahawa laluan berkenaan merupakan sebahagian daripada Laluan Persekutuan 22.

“Kementerian mengambil maklum mengenai masalah kesesakan yang dibangkitkan dan hasil semakan mendapati tiada permohonan rasmi daripada Kerajaan Negeri Sabah dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) atau Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) untuk menaiktaraf laluan tersebut.

“Walau bagaimanapun, kementerian memberi jaminan bahawa cadangan projek menaiktaraf jalan itu akan dipertimbangkan sekiranya dimohon oleh Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan JKR Sabah pada masa akan datang,” ujar KKR.

Menurut kenyataan itu lagi, tumpuan utama kementerian ketika ini adalah memastikan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A dan Fasa 1B dapat disiapkan mengikut jadual serta spesifikasi yang ditetapkan.

“Sehingga kini, kemajuan fizikal Fasa 1A direkodkan pada tahap 85.25 peratus, manakala Fasa 1B mencatatkan kemajuan 9.49 peratus. Keseluruhan projek Fasa 1 dijadual siap sepenuhnya pada suku keempat tahun 2028.

“Fasa seterusnya bagi projek Pan Borneo melibatkan Fasa 2 dari Tamparuli ke Ranau sepanjang 90 kilometer, serta Fasa 3 dari Tawau melalui Kalabakan dan Keningau ke Kimanis sepanjang 430 kilometer.

“Pelaksanaan fasa-fasa ini akan bergantung kepada hasil penelitian bersama agensi pusat, Kerajaan Negeri Sabah, serta kemampuan kewangan semasa kerajaan,” jelas kementerian itu lagi.
Dalam pada itu, KKR turut memaklumkan bahawa bagi tempoh 2023 hingga 2024, sebanyak RM3.97 juta telah diperuntukkan untuk kerja penyenggaraan berkala di daerah Tuaran, dan semua kerja tersebut telah disiapkan.

“Untuk tahun 2025, kementerian menerima permohonan sebanyak RM21.70 juta bagi kerja penyenggaraan, dan setakat Oktober tahun ini, sebanyak RM1.646 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan penyenggaraan berkala yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan November.

“Kementerian turut menjelaskan bahawa kerja awalan menaiktaraf Jalan Berungis ke Serusup (R503) daripada dua lorong kepada empat lorong dari persimpangan Jalan Marabahai Spur ke Jalan Sulaman sedang dijalankan dengan kos RM81.18 juta.

“Projek tersebut kini berada di peringkat penyediaan dokumen tender dan dijangka siap pada 8 Mei 2026. Selain itu, kerja pembaikan cerun di KM55.30 Jalan Kota Kinabalu–Sandakan di kawasan Tuaran turut diluluskan dengan kos RM8.8 juta,” tambah KKR.

Kementerian Kerja Raya menegaskan komitmennya untuk terus memastikan pembangunan infrastruktur jalan raya yang mampan dan menyeluruh demi kesejahteraan rakyat serta kelancaran sistem pengangkutan di seluruh negara, termasuk di kawasan Parlimen Tuaran.

Exit mobile version