Fadhlina dan Madius
KUALA LUMPUR : – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti secara menyeluruh termasuk aspek keberkesanan operasi sebelum mengembalikan semula Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tamparuli yang ditutup dan diserap ke dalam PPD Tuaran.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata turut dikaji adalah keperluan perjawatan serta implikasi kos untuk membuka semula PPD Tamparuli.
“Ini adalah bagi memastikan setiap sekolah tanpa mengira lokasi terus menerima sokongan yang optimum,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau di sidang Dewan Rakya.
Dalam pertanyaan lisannya, Madius meminta Menteri Pendidikan menyatakan sama ada Kementerian berhasrat mengembalikan semula PPD Tamparuli yang ditutup dan kini diserap ke dalam PPD Tuaran.
Ini katanya, memandangkan keadaan ketika ini menyukarkan PPD Tuaran untuk mengawal selia sebanyak 75 buah sekolah rendah dan 10 sekolah menengah di kawasan seliaannya.
KPM memberi jaminan akan memastikan bahawa tadbir urus pendidikan tidak akan terjejas selaras dengan komitmen Kementerian untuk meningkatkan kualiti pendidikan seluruh negara.
“KPM sentiasa komited memastikan pengurusan pendidikan di semua peringkat berjalan dengan cekap dan berkesan. Sehingga kini sebanyak 143 PPD telah diwujudkan di seluruh negara termasuk 26 di Sabah.
“Bagi Daerah Kecil Tamparuli, pentadbiran sekolah telah diletakkan dibawah kawal selia PPD Tuaran. Pada masa ini PPD Tuaran bertangggungjawab menguruskan 75 sekolah rendah dan 10 sekolah menengah membabitkan 30,981 orang murid,” katanya.
