KOTA KINABALU : – Pengumuman yang dibuat menerusi Facebooknya malam ini, menjawab segala teka teki yang bertiup kencang mengenai perletakan jawatan tersebut.
Menurut Ewon, beliau mengambil keputusan berkenaan susulan pendiriannya Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak seharusnya memfailkan rayuan berhubung isu hak 40 peratus hasil Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan perletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet Persekutuan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas ruang kebersamaan dalam Kabinet Persekutuan yang mana telah menjadi ruang untuk saya perjuangkan prinsip berkaitan dengan hak-hak Sabah.
“Saya akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin minggu depan untuk membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas halatuju Parti UPKO,” katanya.
Menurut Ewon, beliau kekal dengan pendirian agar AGC seharusnya tidak memfailkan rayuan, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak 40% tersebut.
Beliau juga tidak dapat menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober tersebut dan bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan.
“Saya percaya AGC akan memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet Kerajaan Persekutuan namun berdasarkan kepada pandangan dan pendirian AGC yang dibuat di mahkamah seperti dalam penghakiman bertulis tersebut, saya tidak melihat akan ada nasihat baharu.
“Atas sebab itu, saya berpegang kepada prinsip saya, sepertimana dalam Perlembagaan Parti UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.
Ewon memberitahu, AGC merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan justeru sangat janggal jika beliau terus berada dalam Kabinet dan percaya pendirian AGC akan kekal menjadi pendirian Kerajaan Persekutuan.
“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO.
“Saya juga pernah memfailkan Saman Pemula (OS) kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Jun 2022 berkaitan hak 40% Sabah ini dan hanya bersetuju menarik semula OS ini pada September 2023,” katanya.
Menurut Ewon, dalam perlembagaan UPKO, salah satu matlamat penubuhannya adalah memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perjuangan UPKO, ujar beliau, adalah berdasarkan kepada dokumen-dokumen asas perlembagaan (constitutional foundation documents) iaitu Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC, Perjanjian Malaysia 1963 dan Akta Malaysia.
“Penghormatan kepada sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang diterjemah melalui dokumen-dokumen asas perlembagaan ini seharusnya menjadi asas kepada hala tuju dan masa depan Persekutuan Malaysia.
“Ini termasuk penghormatan, pengiktirafan dan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah sepertimana dalam Perkara 112C dan Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
“Saya telah meneliti penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu Celestina Stuel Galid ke atas Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society.
“Pendirian dan pandangan yang dinyatakan oleh AGC seperti dinyatakan dalam penghakiman bertulis antaranya mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang mencakupi syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia, seperti mana dinyatakan melalui dokumen-dokumen asas perlembagaan,” katanya.
