UMS-PAM Sabah Perkukuh Kerjasama Bangunkan Pendidikan Alam Bina

64

Prof Dr Rossita dan Aliasgar menyaksikan acara tandatangan Lol di antara UMS dan PAM Sabah Charter.

KOTA KINABALU : Universiti Malaysia Sabah (UMS) meneruskan usaha memperkukuh pendidikan berkaitan bidang alam bina menerusi penganjuran seminar bertemakan “The Brain of Borneo: The Future of Built Environment Education in Sabah”.

Seminar yang diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Sabah Chapter itu antara lain bertujuan menyediakan peluang untuk berkongsi pandangan, bertukar pengetahuan dan memperkukuh rangkaian antara akademia, pelajar dan profesional industri pembinaan serta reka bentuk.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMS, Prof Dr Rossita Shapawi dalam ucapan berkata, kerjasama strategik bersama PAM Sabah Chapter itu bukan sekadar penganjuran program bersama, sebaliknya melibatkan penyatuan kepakaran akademik dan industri profesional dalam membangunkan kurikulum serta hala tuju pendidikan alam bina di Sabah.

Beliau mewakili Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansor sempena perasmian seminar tersebut di Galeri Azman Hashim, UMS.

Katanya, tema ‘The Brain of Borneo’ membawa mesej jelas mengenai aspirasi menjadikan Sabah sebagai pusat kecemerlangan reka bentuk dan pembangunan lestari di rantau ini.

“Bidang alam bina, kejuruteraan dan ukur bahan menjadi disiplin yang menyatukan kreativiti dan sains untuk membina dunia yang lebih baik dan mampan,” katanya.

Beliau menambah, sektor alam bina kini berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk perubahan iklim, pembangunan pesat bandar, kemunculan teknologi baharu serta permintaan terhadap gaya hidup yang mampan.

“Cabaran ini memerlukan perubahan terhadap pendekatan pendidikan kita.

“Justeru itu, kerjasama rapat antara UMS dan PAM Sabah Chapter ini amat penting bagi memastikan pendidikan yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan industri global,” ujar beliau.

Pada majlis tersebut, Rossita bersama Ahli Lembaga Pengarah UMS, Datuk Haji Aliasgar Haji Basri turut menyaksikan acara menandatangani Surat Niat (LoI) antara UMS dan PAM Sabah Chapter.

Dekan Fakulti Kejuruteraan (FKJ) UMS, Prof Madya Ir. Dr Abu Zahrim Yaser mewakili UMS menandatangani LoI tersebut manakala PAM Sabah Chapter diwakili pengerusinya, Ar. Daniel Koh Chung Hou.

Hadir sama pada majlis tersebut Koordinator bagi Program Alam Bina FKJ, Prof Ar. Nurakmal Goh; wakil dari Royal Institution of Surveyors Malaysia (RISM), Sr Stannard Chang; dan Timbalan Pengerusi PAM Sabah Chapter, Ar. Sharon Magdalene Amin.


Previous articleUMS Catat Sejarah Terima Lebih 850 Pelajar Mobiliti Antarabangsa
Next articleUPKO quits PH to pursue ‘Sabah First’ struggle