Home Berita Donald Mojuntin sudah 2 tahun bersedia hadapi PRU17

Donald Mojuntin sudah 2 tahun bersedia hadapi PRU17

Timbalan Presiden UPKO ini pernah menjadi Wakil Rakyat Moyog dan Ahli Parlimen Penampang.

PENAMPANG : “Saya sudah dua tahun membuat persiapan untuk menghadapi pilihan raya umum negeri Sabah pada kali ini, ” kata Timbalan Presiden Upko Datuk Donald Peter Mojuntin.

Beliau akan bertanding di Moyog pada pilihan raya umum ke-17 kali ini atas tiket Upko.

Sebagai seorang ahli politik, beliau bukanlah orang baharu dalam dunia politik yang jiwanya sentiasa bersama parti dan rakyat di kawasannya di Penampang.

Donald pernah menjadi wakil rakyat Moyog pada 2008 dan Ahli Parlimen Penampang pada 2004.

Dalam satu pertemuan dengan talantang.com, beliau berkata sudah cukup bersedia menghadapi pilihan raya sebagai calon UPKO.

Beliau berkongsi bahawa sepanjang tempoh itu beliau turun ke akar umbi, menggerak dan menghidupkan semula cawangan-cawangan Upko yang tidak aktif serta menubuhkan cawangan baharu bagi memperkukuh jentera parti.

“Saya juga aktif berinteraksi dengan generasi muda, mendengar pandangan mereka dan melibatkan serta menggalakkan mereka untuk sama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti serta kepimpinan di peringkat komuniti.

“Dalam tempoh ini juga, saya terus mengadakan program penerangan, menyantuni rakyat Moyog dan menyalurkan khidmat kepada mereka dengan apa jua kapasiti yang ada,” kata anak kepada pemimpin agung Kadazan yang digelar ‘Anak Emas Kadazan’ itu kepada wartawan talantang.com semalam.

Bapa Donald, mendiang Datuk Peter Mojuntin dianggap sebagai antara pemimpin paling berkaliber dan disanjung tinggi pada tahun 1970an. Namun hidupnya dipendekkan dan tidak pernah menyaksikan keadaan politik pada hari ini kerana maut dalam nahas pesawat pada 6 Jun 1976.

Peter juga adalah wakil rakyat Moyog atas tiket Upko dan menjawat jawatan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah ketika hayatnya.

Menyentuh mengenai persiapan PRU, bagi Donald persiapan terbaik bukan sekadar menjelang pilihan raya, tetapi melalui kehadiran berterusan bersama rakyat dengan memahami keperluan mereka, membina kepercayaan, dan menggerakkan tenaga baharu terutama dari kalangan anak muda Moyog.

Mengenai keputusannya untuk bertanding semula katanya: “Saya kembali bertanding kerana saya percaya inilah masa untuk saya menyumbang lebih banyak kepada rakyat Moyog.”

Donald menekankan bahawa hasrat itu bukannya keputusan mendadak tetapi membuat banyak perbincangan dengan Presiden Ewon sejak lebih dua tahun yang lalu.

Katanya, Ewon bekerja keras sebagai Ahli Parlimen Penampang dan mahu melengkapkan serta mengukuhkan usahanya di Moyog.

Dalam keadaan di mana Penampang mempunyai banyak masalah seperti masalah banjir, Donald yakin dapat membawa rancangan teratur untuk membangunkan Moyog secara mampan supaya setiap kampung dan komuniti menikmati kemajuan seimbang.

Beliau mahu menjadi wakil rakyat yang benar-benar berorientasikan khidmat, sentiasa dekat dengan rakyat dan memahami denyut nadi mereka.

“Pendek kata, saya kembali bukan sekadar untuk bertanding, tetapi untuk menyambung perjuangan, memperkukuh sinergi bersama Datuk Ewon dan memastikan Moyog terus maju dengan hala tuju yang jelas dan berterusan,” jelasnya.

Exit mobile version