Home Berita Sokongan Louis  kepada Joniston berfokus kepada pembangunan Kiulu berterusan

Sokongan Louis  kepada Joniston berfokus kepada pembangunan Kiulu berterusan

Joniston bersama mantan wakil rakyat Kiulu Datuk Louis Rampas (kanan).

KIULU : – Sokongan berterusan mantan ADUN Kiulu, Datuk Louis Rampas, terhadap calon Gabungan  Rakyat Sabah (GRS) Datuk Joniston Bangkuai, mencerminkan kesinambungan kepimpinan di Kiulu dalam pilihan raya negeri ini.

Sejak Joniston pertama kali dicalonkan pada 2013, Louis, 74, kekal hadir memberi sokongan dan dorongan kepada penggantinya itu sejak PRN 2013.

Sebagai wakil rakyat Kiulu dari tahun 1999 sehingga 2013, Louis, dengan pengalaman beliau sebagai mantan pegawai kanan kerajaan termasuk menjadi Pegawai Daerah, telah membentuk asas pembangunan dan perancangan awal yang penting untuk Kiulu.

Perancangan tersebut diteruskan oleh Joniston dalam semangat kesinambungan dan kerjasama kepimpinan.

Keterlibatan kedua-dua pemimpin dari Parti Bersatu Sabah (PBS), salah satu parti komponen dalam GRS, ini memperlihatkan hubungan politik yang stabil serta berfokus kepada pembangunan kawasan.

“Saya amat menghargai sokongan berterusan Datuk Louis yang saya anggap “a real gentleman” sejak hari pertama kali saya dicalonkan.

“Beliau meninggalkan asas yang kukuh, dan menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan perancangan itu demi memastikan Kiulu terus maju dengan cara yang tersusun dan menyeluruh,” kata Joniston dalam kempen ceramah di PDM Tomis, pada Sabtu.

Di bawah pentadbiran Joniston, Kiulu menyaksikan pelaksanaan pelbagai usaha pembangunan yang tersusun, termasuk mengukuhkan inisiatif terdahulu sambil memperkenalkan program baharu bagi memenuhi keperluan penduduk.

Peruntukan ADUN yang lebih tinggi di bawah kerajaan GRS pula membolehkan projek pembangunan berjalan lebih progresif.

“Joniston menunjukkan kesungguhan dan integriti sejak mengambil alih tanggungjawab pada 2013.

“Saya melihat sendiri bagaimana perancangan lama diperkukuh dengan inisiatif baharu, dan sebab itu saya terus berdiri bersama beliau untuk masa depan Kiulu,” kata Louis.

Exit mobile version