KKM digesa percepatkan proses penilaian projek naik taraf DOK – Vivian

120

Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong  Shir Yee

SANDAKAN ; – – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mempercepatkan proses penilaian serta kelulusan peruntukan projek agar Hospital Duchess of Kent Sandakan yang sebelum ini telah diumumkan akan dinaik taraf dapat menikmati penambahbaikan yang ketara dalam tempoh terdekat.

Beliau menyambut baik pengumuman kerajaan sebelum ini berhubung peruntukan bagi menaik taraf hospital kerajaan dan klinik kesihatan luar bandar di seluruh Sabah.

Namun begitu, menurut beliau, proses penilaian dan kelulusan peruntukan bagi projek naik taraf yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan sering mengambil masa yang terlalu lama.

Ia menyebabkan rakyat masih belum dapat merasai sebarang peningkatan atau penambahbaikan terhadap kemudahan kesihatan yang dijanjikan.

Beliau mengambil contoh projek naik taraf Hospital Duchess of Kent Sandakan serta beberapa projek lain, di mana walaupun telah diumumkan atau diluluskan secara prinsip, pelaksanaannya masih perlu melalui pelbagai peringkat penilaian dan kelulusan yang memakan masa bertahun-tahun sebelum dapat dimuktamadkan, sekali gus gagal memberi kesan segera kepada keperluan rakyat di daerah ini.

Vivian menyatakan perkara tersebut pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat.

Selain itu, beliau turut menegaskan bahawa Hospital Duchess of Kent Sandakan sejak sekian lama berdepan masalah kekurangan peralatan perubatan serta tenaga pakar, selain tahap perkhidmatan kesihatan mental yang masih sangat terhad dan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Beliau menambah bahawa klinik-klinik kesihatan kerajaan di kawasan yang mempunyai penduduk yang padat di Sabah juga masih berhadapan dengan jumlah pesakit yang terlalu ramai, sehingga sering menyebabkan kesesakan dan tempoh menunggu yang panjang.

Sehubungan itu, Vivian Wong berharap agar Kementerian Kesihatan dapat memberi penjelasan secara terbuka mengenai hala tuju serta penggunaan peruntukan kerajaan Persekutuan yang disalurkan khusus untuk menaik taraf kemudahan kesihatan di kawasan Pantai Timur Sabah.

Previous articleKerajaan Sabah tidak ada kuasa keluarkan Kad Pengenalan sendiri
Next articleProses penamaan calon JKKK DUN Tamparuli bermula 6 Feb berjalan lancar