Proses penamaan calon JKKK DUN Tamparuli bermula 6 Feb berjalan lancar

329

Datuk Sri Panglima Wilfred Madius  Tangau hadir menyaksikan proses penamaan calon dan setiausaha JKKK DUN N14 Tamparuli pada Jumaat.

Madius….𝗗𝗲𝗺𝗼𝗸𝗿𝗮𝘀𝗶 𝗔𝗸𝗮𝗿 𝗨𝗺𝗯𝗶 𝗗𝗶𝗿𝗲𝗮𝗹𝗶𝘀𝗮𝘀𝗶𝗸𝗮𝗻

TAMPARULI : –  Proses penamaan calon bagi pemilihan Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di seluruh kawasan DUN N.14 Tamparuli bermula hari ini, menandakan satu langkah penting dalam memastikan demokrasi diamalkan sehingga ke peringkat akar umbi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.14 Tamparuli, Datuk Seri Panglima Madius Tangau, berkata pemilihan ini adalah sebahagian daripada realisasi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, yang bertujuan memberi peluang kepada rakyat kampung untuk menentukan kepimpinan komuniti mereka secara langsung.

Menurut beliau, pelaksanaan pemilihan JKKK secara undian itu diadakan serentak di 94 buah kampung berdaftar di DUN Tamparuli, sekali gus menjadikan Tamparuli sebagai DUN pertama di Sabah yang melaksanakan pemilihan JKKK secara demokrasi.

“Kita mahu demokrasi diamalkan sehingga ke akar umbi. Inisiatif ini membuktikan komitmen kita untuk memastikan suara rakyat di peringkat kampung dihormati melalui proses yang telus, adil dan berintegriti.

“Keseluruhan proses pemilihan dijalankan Pejabat Daerah Kecil Tamparuli selaku urusetia rasmi yang dilantik oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dengan kerjasama pejabat UPPM Tamparuli bagi memastikan pelaksanaannya tersusun, telus dan berintegriti,” kata beliau ketika dihubungi media selepas proses penamaan calon.

Berdasarkan tinjauan, penamaan calon tersebut yang diadakan bermula seawal jam 9.00 pagi tadi berjalan lancar di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Kecil Tamparuli yang menyaksikan seramai 402 borang pencalonan pengerusi dan setiausaha JKKK telah diterima.

Daripada jumlah tersebut menyaksikan 25 buah kampung mencatatkan calon menang tanpa bertanding, manakala dua buah kampung tidak mempunyai sebarang calon yang hadir mendaftarkan nama untuk bertanding.

Selebihnya, iaitu sebanyak 67 buah kampung akan menyaksikan pertandingan apabila masing-masing mempunyai lebih daripada satu pencalonan untuk pengerusi dan setiausaha JKKK.

Datuk Seri Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran memaklumkan bahawa selaku urusetia, Pejabat Daerah Kecil Tamparuli akan bertanggungjawab  mengurus, menyelaras dan memantau keseluruhan proses pemilihan, termasuk urusan penamaan calon, kempen, pengundian, pengiraan undi dan pengumuman keputusan.

Justeru, beliau menyeru semua penduduk kampung di kawasan DUN N.14 Tamparuli untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dan mengambil bahagian secara bertanggungjawab bagi memastikan pemilihan kepimpinan JKKK yang berwibawa, berfungsi dan berkesan.

Untuk rekod, tempoh kempen juga bermula serta merta pada hari ini sehingga 14 Februari depan, manakala hari pengundian, pengiraan undi dan pengumuman keputusan akan berlangsung pada 15 Februari 2026 (Ahad) dari jam 1.00 petang hingga 4.00 petang.

Hadir sama, Penolong Pegawai Daerah Kecil Tamparuli, Hannevy W Harry dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tamparuli Jeffry Teo.

Previous articleKKM digesa percepatkan proses penilaian projek naik taraf DOK – Vivian
Next articleMalaysian Journalists Arrives in Jakarta for HPN 2026