Home Berita Petronas mahu media jadi rakan strategik 

Petronas mahu media jadi rakan strategik 

Siti Ayu (duduk, tiga kiri) bergambar kenangan bersama pengamal media di Tawau yang hadir pada majlis itu.

Oleh Nilam Raon

TAWAU (Khamis, 17 Ogos): Petroliam Nasional Berhad (Petronas) di Sabah berharap media terus menjadi rakan strategik dalam usaha membantu menyampaikan maklumat kepada masyarakat mengenai syarikat korporat berkenaan.

Ketua Petronas Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab berkata, pihaknya sentiasa menghargai usaha media yang menjadi perantara Petronas dengan masyarakat melalui laporan yang dihasilkan.

Menurutnya, media memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi, menyebarkan maklumat dan membentuk pandangan serta pemahaman melalui liputan berita, analisis mahupun rencana.

“Bagi pihak Petronas saya ingin merakamkan penghargaan atas sokongan pengamal media di Tawau dalam memberikan liputan kepada aktiviti kami selama ini khususnya program impak sosial yang kami laksanakan.

“Kami berharap hubungan dan kerjasama yang baik antara Petronas dan pengamal media akan terus kekal dan dapat dieratkan lagi pada masa akan datang melalui aktiviti bersama,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Media di Tawau pada Rabu.

Katanya, tanpa sokongan pengamal media agak sukar untuk Petronas berkongsi maklumat secara menyeluruh sama ada dengan masyarakat, pelabur, rakan niaga, pelanggan dan pihak industri baik di dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa.

Siti Ayu dalam berkata, Petronas sentiasa memfokus kepada tiga teras impak sosial iaitu membabitkan pendidikan, kesejahteraan dan pembangunan masyarakat, serta persekitaran.

“Antara program impak sosial yang dijalankan Petronas adalah memacu memperkasa ilmu iaitu Back To School yang dibuat di seluruh sekolah rendah dan menengah daerah di Sabah yang mana pelajar mendapat beg dan peralatan sekolah serta baucar,” ujarnya.

NO COMMENTS

Exit mobile version