Home Berita Klinik bergerak HUMS tumpuan pelajar, penduduk di Kota Belud

Klinik bergerak HUMS tumpuan pelajar, penduduk di Kota Belud

Pelajar yang hadir pada perkhidmatan klinik bergerak komuniti luar bandar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Dua Kota Belud, kelmarin.

Oleh Harry Joe

Foto Mohd Syukrie Johary 

KOTA BELUD (Khamis 17 Ogos): Seramai 250 pelajar dan penduduk di daerah ini memanfaatkan perkhidmatan klinik bergerak kepada komuniti luar bandar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekan Dua Kota Belud, kelmarin.

Program KRIS Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT Prihatin Madani) itu adalah kelolaan Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS).

Program itu menyediakan perkhidmatan klinik bergerak kepada komuniti luar bandar.

Ketua Pasukan Perubatan HUMS, Dr Rishaini Elengovan berkata, program itu bertujuan memberikan pemeriksaan rawatan kesihatan percuma kepada pelajar dan penduduk sekitar.

“Sasaran program adalah mereka yang tidak mempunyai akses mudah kepada kemudahan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, seramai 35 kakitangan HUMS terbabit dalam program itu sebagai sukarelawan.

Katanya, mereka terdiri pakar perubatan, pegawai perubatan, pegawai pergigian, pegawai farmasi dan jururawat yang bekerjasama dalam satu pasukan menjayakan program itu.

“Antara perkhidmatan kesihatan dan perubatan disediakan HUMS saringan kesihatan, pemeriksaan kesihatan asas, rawatan kesihatan dan kebersihan diri.

“Kami juga memberikan konsultasi kesihatan oleh pakar kesihatan dan pegawai perubatan serta ubat percuma kepada pelajar,” katanya.

Dr Rishaini Elengovan berkata, pelajar turut mendapatkan nasihat pemakanan yang baik daripada sukarelawan terbabit.

NO COMMENTS

Exit mobile version