Home Berita Stimin mahu pasti Jalur Gemilang berkibar di Bukit Perahu

Stimin mahu pasti Jalur Gemilang berkibar di Bukit Perahu

Stimin Luin memastikan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sentiasa berkibar megah di puncak Bukit Perahu, Tamparuli. – Foto Mohd Syukrie Johary

Oleh Hardy Joe

TAMPARULI: Pemuda Dusun itu akan memastikan Jalur Gemilang dan bendera Sabah yang ada di Bukit Perahu, sentiasa berkeadaan baik dan berkibar megah selama mungkin di puncak tertinggi di daerah ini.

Walaupun Stimin Luin, 45, tidak menerima sebarang imbuhan melakukan pekerjaan itu, namun dia meneruskan usaha kecil itu demi semangat patriotik terhadap tanah air.

Selain itu, beliau yang mendaki bukit itu hampir setiap sehari turut membersihkan laluan ke puncak daripada semak serta mengalihkan pokok atau dahan tumbang.

“Saya lakukan semua itu secara sukarela tanpa sebarang niat ingin mendapat pujian daripada mana-mana pihak.

“Apabila Jalur Gemilang di puncak bukit itu kelihatan lesu atau koyak, saya mengeluarkan wang sendiri membeli bendera baharu,” katanya menambah bahawa sesiapapun boleh melakukan pekerjaan mudah itu, namun tidak ramai sanggup berbuat demikian secara sukarela dan berterusan.

Stimin yang berasal dari Kampung Kiau Nulu, Kota Belud sudah beberapa tahun melakukan pekerjaan itu di bukit berkenaan. Dia tidak pernah merasa bosan melakukannya demi semangat cintakan negeri Sabah dan bukit yang terkenal itu.

Beliau merasa terpanggil meneruskan usaha itu, apabila sedar tiada individu lain di kalangan pendaki bukit itu yang sanggup berbuat demikian.

“Ia satu kepuasan untuk diri saya sendiri apabila dapat melakukan pekerjaan sukarela ini. Saya sukakan aktiviti mendaki. Dalam proses itu, saya juga membersihkan laluan supaya sentiasa bersih,” katanya.

Katanya, menjelang sambutan bulan kemerdekaan Ogos depan, Jalur Gemilang dan bendera Sabah di puncak bukit itu perlu dipastikan dalam keadaan baik dan berkibar megah di situ.

“Saya tidak mengharapkan apa-apa daripada pendaki lain, cukup sumbangan menyediakan sebanyak mungkin Jalur Gemilang dan bendera Sabah untuk di kibarkan di puncak bukit itu,” katanya.

Sehubungan itu, Stimin mohon pengusaha syarikat, individu berkemampuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil mengibarkan bendera di puncak Bukit Perahu sebagai memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan tahun ini.

NO COMMENTS

Exit mobile version