Home Berita RM4.2j untuk projek pembangunan wanita Sabah

RM4.2j untuk projek pembangunan wanita Sabah

Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor bersama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib melakukan gimik pelancaran buku Photobook Wanita sempena Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri.

Hajiji bersama isteri Juliah Salag, James Ratib, Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) Datuk Dr Hajah Tarsiah dan jemputan khas memotong kek sempena Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima buku Photobook Wanita daripada Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Dr Hajah Tarsiah TZ Taman selepas melancarkannya.

KOTA KINABALU (Sabtu 26 Ogos): Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM4.2 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) dan RM700,000 kepada Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) bagi melaksanakan pelbagai projek pembangunan wanita, termasuk operasi dan pengurusannya tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Katanya, peruntukan khas juga diberikan untuk projek jangka pendek melalui Projek Creating Millionaire Among Young Women (CreaM@YWE) sebanyak RM554,540  dan RM3.4 juta untuk Projek Akademi Kepimpinan Wanita Sabah.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dan program di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang telah dilaksanakan sebelum ini akan diteruskan pada tahun 2023.

“Antaranya ialah Program Outreach Santuni Wanita dan Program JHEWAnita untuk memperkasa golongan ibu tunggal dan wanita B40. Program Santuni Komuniti bertujuan meningkatkan penghasilan dan penjualan produk usahawan ibu tunggal dan wanita B40 merupakan antara inisiatif baharu untuk menyantuni masyarakat juga akan diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Negeri Sabah Tahun 2023 di Grand Ballroom, The Magellan Sutera Resort pada Sabtu.

Hajiji berkata, kerajaan mengambil usaha berterusan bagi merapatkan jurang gender melalui inisiatif yang diambil pelbagai pihak kerana ramai wanita yang berkaliber dan berpotensi untuk memegang jawatan pembuat keputusan dalam sesebuah organisasi. 

Menurutnya, di Sabah setiap tahun berlaku perubahan wanita sebagai pembuat keputusan.

Dalam sektor penjawatan awam, setakat bulan Ogos 2023, statistik dan data wanita pembuat keputusan Kerajaan Negeri Sabah bagi Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah berjumlah 33.3 peratu iaitu seorang wanita daripada 3 orang Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Bagi jawatan Setiausaha Tetap berjumlah 9.09 peratus iaitu seorang wanita daripada 11 Setiausaha Tetap Kementerian. Peratusan Timbalan Setiausaha Tetap sebanyak 40 peratus iaitu lapan wanita daripada 20 Timbalan Setiausaha Tetap. 

“Sementara Ketua Jabatan pula sebanyak 30.23 peratus iaitu 13 wanita daripada 43 Ketua Jabatan. Kerajaan negeri berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita kerana wanita adalah tonggak pembangunan negara yang paling penting dalam aspek sosial, politik dan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata, banyak yang telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi menambahbaik perlindungan dan kebajikan pekerja khususnya wanita, antaranya pindaan ke atas Akta Kerja 1955 yang merangkumi pindaan cuti bersalin dipanjangkan daripada 60 hari kepada 98 hari.

Manakala cuti paterniti pula diberi daripada tiga hari ke tujuh hari agar suami membantu isteri yang baharu melahirkan anak serta majikan diwajibkan menampal notis tentang kesedaran gangguan seksual di tempat kerja.

Menurutnya, tanpa mengambil kira latar belakang mereka, wanita kini mempunyai banyak kepakaran dan berperanan penting kepada kemajuan negara, pembangunan institusi kekeluargaan serta pengukuh kasih sayang dalam masyarakat.

Menurut Hajiji, komitmen, kesabaran dan kecekalan wanita sebagai seorang isteri, ibu, seorang anak dan sebagai seorang warga Malaysia yang berjiwa besar sangat memberikan inspirasi kepada semua.

“Walaupun lakaran kejayaan demi kejayaan terus dicapai, kita tidak harus berpuas hati.

Tugas untuk memperkasa wanita perlu diperkemaskan kerana wanita masih terbelenggu dengan isu stereotaip terhadap kepimpinan dan penglibatannya sebagai pembuat keputusan.

“Beban berganda bagi wanita berkerjaya yang perlu mengimbangi antara tuntutan kerja dengan pengurusan rumah tangga, serta isu keganasan berasaskan gender yang masih menyasarkan wanita”, tegasnya.

NO COMMENTS

Exit mobile version