Home Berita Hiburan Muzik etnik Rungus semakin berkembang

Muzik etnik Rungus semakin berkembang

Kumpulan Rapot Sanggong mempersembahkan muzik etnik Rungus

Razif beraksi atas pentas mengguna alat muzik Sundatang
Razif merakam gambar bersama kumpulan daripada Afrika.

RAMAI tidak tahu keunikan muzik dan lagu-lagu etnik Rungus. Ini mungkin disebabkan tidak banyak pendedahan dibuat dan kurangnya usaha untuk mendekati peminat muzik muda akan kehebatan muzik etnik Rungus,” kata aktivis muzik Rungus Razif Ajip.

Katanya, potensi dan kemampuan muzik Rungus moden untuk bertapak padu dalam persada seni Sabah semakin berkembang dan ia mempunyai masa hadapan yang sangat cerah untuk maju bersama-sama dengan muzik etnik kaum lain di sini.

Dengan teknologi yang semakin canggih yang mudah diaplikasi dan bakat terserlah penggiat anak seni Rungus masa kini, tidak mustahil mereka akan setanding dan berdiri sama tinggi dengan bakat etnik lain di negeri ini.

Cuma ketika lagu-lagu dan muzik Rungus moden semakin berkembang, aktivis muzik Rungus semakin bimbang dengan trend di mana muzik Rungus genre tradisional dan etnik semakin dilupakan oleh generasi baru.

Nama-nama seperti Thomas Logiving yang pernah terkenal dengan lagu Kada Potirio Romou Mato Nu (Jangan biarkan airmata mu mengalir), Frankie Pulian (Sumulok Bavang Ponudaan) dan Helex Pele Sumbing (Samod Toh) pernah menjadi siulan bukan sahaja di kalangan peminat muzik Rungus.

Lagu balada yang paling disukai ketika ini yang dinyanyikan bekas juara Sugandoi  mendiang Ferrady Okuling bertajuk Samod Dit Tondu adalah contoh karya anak seni Rungus yang sudah terkenal di kalangan penggiat seni bukan Rungus.

Kata Razif, muzik Rungus ada keunikan yang tersendiri dan jika keunikan itu dapat dikenalpasti dan digunakan dengan sebaiknya, sesuatu karya Rungus yang baik akan dapat dihasilkan.

Katanya, masalah utama penggiat seni muzik etnik Rungus ialah penerimaan masyarakat masa kini yang sudah tidak mementingkan muzik etnik. Kebanyakan mereka terutama golongan remaja terlalu terpengaruh dengan muzik moden. 

“Apabila itu berlaku maka permintaan terhadap muzik etnik pun kurang dan tidak mendapat perhatian,” katanya dan terdorong untuk melakukan sesuatu untuk memelihara genre muzik etnik Rungus supaya terus berkembang.

Menyedari masalah itu Razif sendiri bersungguh-sungguh mendalami seni muzik etnik Rungus termasuk menyertai kumpulan band etnik band. Di sini dia membuat muzik dan lagu kreatif etnik Rungus supaya seiring dengan perkembangan muzik masa kini agar diterima masyarakat terutama golongan muda.

“Saya juga mencari dan mengenal pasti individu yang berminat mempelajari seni muzik etnik Rungus untuk saya ajar ilmu berkaitan seni muzik Rungus. Jika dilihat secara teknikal, lagu etnik Rungus berbeza dengan lagu-lagu suku yang lain di negeri ini.

“Muzik etnik Rungus ialah irama-irama yang dihasilkan dari alat-alat muzik tradisi Rungus seperti Gong, Sundatang, Uruding, Urali, Sompoton dan Tongkungon. Ia dimainkan mengikut melodi lagu-lagu tradisi Rungus seperti Padaha, Mogondi, Sovoli dan banyak lagi,” tambahnya.

Menurut Razif, seni muzik atau lagu Rungus bermula daripada kewujudan ‘Rinait’ yang dinyanyikan oleh Bobohizan dalam ritual. Melodi dan ayat-ayat ‘Rinait’ kemudiannya diambil dan digunakan dalam nyanyian semasa keramaian diadakan.

Alat-alat muzik tradisi pula dimainkan mengikut irama dan lenggok suara yang diambil daripada irama Rinait tersebut. Alat muzik tradisi seperti Sundatang, Uruding/Bungkau, Urali, Sompoton dan Gong perlu dibawa ke peringkat antarabangsa, katanya.

Kolaborasi dengan kumpulan muzik yang lain untuk menghasilkan muzik-muzik Sabah dengan menggabung elemen muzik dan lagu etnik Sabah amat diperlukan. Razif kini membuat lagu yang berkonsep kebudayaan, pelancongan, perpaduan masyarakat negeri Sabah yang akan disulami dengan irama etnik.

“Hanya kesedaran terhadap cinta kepada bahasa dan karya ibunda di kalangan masyarakat Rungus perlu dititik beratkan agar karya-karya Rungus diterima oleh kaum Rungus itu sendiri seterusnya pada kaum lain.

“Kreativiti pencipta untuk menggabung elemen-elemen seperti muzik etnik, lirik berunsurkan kisah tempatan Sabah dan sebagainya diperlukan untuk menarik perhatian umum.

“Pencipta juga perlu memperluaskan skop muzik dan lagu seiring dengan peredaran masa kini. Kesedaran cintakan lagu dan muzik bangsa sendiri juga sangat diperlukan untuk menggalakkan dan melahirkan lebih banyak lagi pengiat seni muzik Rungus,” katanya.

Razif mempunyai Kumpulan band iaitu Rapot Sanggong yang membawa lagu-lagu dan muzik tradisi kaum Rungus yang digabungkan dengan alat muzik moden. Lagu-lagu mereka juga digabung menggunakan lirik moden dan Rinait.

Irama moden dan irama tradisi Rungus sentiasa ada dalam setiap karya Rapot Sanggong. Kumpulan ini yang diketuai Charles Osingko sudah mendapat pelbagai pengiktirafan. Sebagai satu-satunya ahli dalam band yang mengkhususkan irama dan muzik etnik Rungus, Rafiz membawa pulang banyak hadiah dalam pertandingan genre etnik yang diadakan.

NO COMMENTS

Exit mobile version