Home Berita ‘Henti tuding jari isu kebersihan di Semporna’

‘Henti tuding jari isu kebersihan di Semporna’

Alexander (tengah baju hijau) bergambar kenangan bersama peserta program gotong royong membersihkan Pulau Mabul.

Oleh Nilam Raon

SEMPORNA (Isnin 28 Ogos): Semua pihak diminta agar berhenti menuding jari dan saling menyalahkan antara satu sama lain berkaitan isu kebersihan dan keselamatan pelancongan di daerah ini.

Pegawai Daerah, Alexander Liew berkata daripada melontar pelbagai persepsi negatif seharusnya semua pihak bersatu mencari penyelesaian bagi mengelak daerah itu dikenakan tindakan notis merah.

Menurutnya, Majlis Daerah Semporna (MDS) tidak pernah bersikap lepas tangan dan telah berusaha mengurus dan membersihkan sistem pengurusan sampah di daerah itu dengan sebaiknya selama ini.

“Kita tidak boleh tuding jari pada mana-mana pihak dan MDS telah pun berusaha membersihkan sampah-sampah di pekan sebelum Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengeluarkan kenyataan itu,” katanya.

Beliau berkata ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Membersihkan Kampung Pulau Mabul di Pulau Mabul di sini.

Baru-baru ini Menteri MOTAC, Dato Sri Tiong King Sing berkata, ia akan mengeluarkan amaran notis merah kepada Semporna sebagai tindakan terakhir jika aspek kebersihan, keselamatan dan keselesaan pelancong tidak ditangani.

Katanya, MDS juga telah merancang pelbagai program yang dilaksana secara berterusan bagi memastikan isu kebersihan di daerah itu berada dalam keadaan terkawal supaya tidak menjejaskan sektor pelancongan.

“Usaha MDS berterusan dan saya pun telah berbincang bahawa kita akan sentiasa mengadakan program kebersihan kerana kita tidak mahu program dilaksana pada ketika ini hanya bersikap hangat-hangat kerana kita memandang serius kenyataan MOTAC itu dan yang penting menghindarkan kita diberi notis merah,” katanya lagi.

Alexander berkata, pihaknya juga kini menukar kaedah melakukan aktiviti gotong royong di kawasan kampung dengan membahagikan kawasan mengikut zon yang ditetapkan dan masing-masing mempunyai pusat pengumpulan sampah.

Terdahulu pada program itu seramai 100 orang dari pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk pelancong menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran di perkampungan Pulau Mabul dan berjaya mengutip lima tan sampah.

 

NO COMMENTS

Exit mobile version