Home Berita ‘Kami bukan pengotor’

‘Kami bukan pengotor’

Salah seorang penduduk di kampung Pulau Mabul membersihkan sampah yang hanyut dari laut di kawasan rumahnya.

Oleh Nilam Raon

SEMPORNA (Isnin 28 Ogos): Kira-kira 4,000 penduduk Pulau Mabul kesal dituduh sebagai pengotor dan suka membuang sampah merata-rata hanya kerana tahap kebersihan pulau itu dikatakan kotor.

Ketua Kampung Mohamad Yusof Jalal, 65 berkata, penduduk melakukan aktiviti membersih kawasan rumah dan persekitaran masing-masing hampir setiap hari pada waktu pagi atau petang kerana menyedari pulau berkenaan menjadi tumpuan aktiviti pelancongan.

Menurutnya, punca utama longgokan sampah di pesisir pantai pulau itu bukan kerana penduduk tidak mempunyai sivik berkaitan kebersihan tetapi sebaliknya sampah berkenaan dihanyut dibawa arus dan angin.

“Saya selalu minta penduduk untuk kutip sampah dan kena bersihkan rumah sendiri. Sampah ini sebenarnya datang ke sini bila dipukul ombak kuat dan angin kuat. 

“Keadaan ini menyebabkan banyak sampah bertimbun sehingga boleh sampai lebih 10 tan. Kalau pungut pun belum tentu habis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir program gotong-rotong membersih Pulau Mabul yang disertai Pegawai Daerah Semporna, Alexander Liew dan 100 sukarela dari pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, penduduk di pulau berkenaan juga telah menjadikan amalan setiap minggu selepas waktu solat Jumaat dengan mengadakan aktiviti memungut sampah secara berjalan pusing seluruh kampung.

Sementara itu seorang penduduk Nurlina Han, 40, menafikan bahawa penempatan penduduk Bajau Laut di kawasan pulau berkenaan sebagai punca lambakan sampah di pesisir pantai.

“Kami penduduk tempatan di sini memang selalu menegur mereka untuk pastikan kawasan rumah berada dalam keadaan bersih dan tiada sampah. Mereka bukan punca sampah banyak di sini. Sampah itu datang dari luar dihanyutkan ke sini.

“Cuma yang menjadi isu apabila kami sudah mengutip sampah ini kami tidak tahu mahu membuangnya ke mana kerana tiada pelupusan sampah di sini atau tiada pengangkutan untuk membawa sampah ini,” katanya.

Nurlina berkata, isu pengangkutan dan jarak membawa sampah ke tanah besar Semporna menjadi isu penduduk di pulau tersebut dan berharap akan dapat memiliki pusat pelupusan atau pengumpulan sampah yang lebih teratur pada masa akan datang.

NO COMMENTS

Exit mobile version