Home Berita Rakyat digesa biasakan diri kibar bendera

Rakyat digesa biasakan diri kibar bendera

Nizam (kanan) memasang Jalur Gemilang di bas mini penumpang.

Nizam (tujuh kiri) bergambar kenangan selepas program penyampaian Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada GPTKS di Tapak Stesen Bas Sabindo.

Oleh Nilam Raon

TAWAU (Isnin 28 Ogos): Tabiat mengibar Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah perlu dijadikan sebagai rutin setiap kali tiba sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos setiap tahun.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tabiat mengibar Jalur Gemilang dan bendera negeri itu akan memupuk semangat patriotik dan cintakan tanah air.

Menurutnya, semua pihak terutama pemandu perkhidmatan awam dan perkhidmatan kereta sewa yang menjadi duta kecil perlu menterjemah semangat cintakan negara dengan mengibar bendera di kenderaan masing-masing.

“Kita perlu bersama-sama melahirkan semangat cintakan negara dan semua kaum berbilang di Sabah perlu bersyukur dengan keamanan dan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini kita semua perlu terus bersatu,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apas berkata di majlis penyampaian Jalur Gemilang dan Bendera Sabah kepada Gabungan Persatuan Teksi dan Kereta Sewa (GPTKS) di Tapak Stesen Bas Sabindo Isnin.

Katanya, tidak perlu malu untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri sebaliknya perlu berbangga menjadi rakyat negara ini yang mempunyai identiti dan keunikan tersendiri.

Pada majlis itu sebanyak 1,000 Jalur Gemilang dan bendera Sabah diagihkan kepada ahli GPTKS di Tawau.

Sementara itu, Nizam turut menghargai sumbangan dan usaha keras pemandu perkhidmatan awam dan kereta sewa yang memain peranan menjaga nama baik negara dengan melayan penumpang dan menunjukkan ciri-ciri yang baik.

NO COMMENTS

Exit mobile version