Joniston mewakili Ketua Menteri menutup majlis hari keluarga terbuka AIM di Tuaran. – Foto Mohd Syukrie Johary
Oleh Hardy Joe
TUARAN: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada Yayasan Usaha Maju (YUM) tahun ini untuk kemudahan pinjaman mikro kepada wanita, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Katanya, Kerajaan akan memastikan usahawan khususnya wanita mendapat peluang dan kemudahan pinjaman yang sama rata.
Beliau berkata, agensi-agensi kerajaan menawarkan bantuan dana turut menyediakan kursus dan latihan perniagaan, disamping bantuan promosi dan pemasaran produk ke pasaran dalam dan luar negeri.
“Kerajaan negeri juga memberi perhatian dan tumpuan kepada pembangunan peniaga kecil dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), sebagai industri pendukung dan pemangkin kepada sektor pembuatan.”
“Kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM6.17 juta kepada Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan pada tahun ini bagi mempergiatkan promosi produk-produk Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya merasmikan penutupan Hari Keluarga Terbuka Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Tuaran 2023 di Dewan Seri Sulaman pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji berkata, bagi memperkasakan lagi Program Bantuan IKS, Program Persijilan MESTI dan Halal dimulakan tahun ini bagi melayakkan produk IKS Sabah bersaing di peringkat antarabangsa.
Untuk itu, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM15 juta bagi menyokong program ini.
Katanya, AIM sebagai penyedia kewangan mikro di negara ini banyak membantu usahawan kecil dan merancakkan pertumbuhan ekonomi di negara ini, termasuk golongan wanita dan B40 untuk keluar daripada kemiskinan.
Menurutnya, ada usahawan kecil yang berjaya memperolehi pendapatan sehingga puluhan ribu ringgit sebulan, hasil bantuan AIM.
“Ini membuktikan AIM telah berjaya membantu mengangkat martabat para peniaga. Di Tuaran sahaja, seramai 3,102 ahli AIM mendapat pembiayaan pinjaman daripada AIM ,” jelasnya.
Beliau berharap AIM terus membantu membiayai perniagaan kepada usahawan di Sabah agar mereka dapat menjana pendapatan dan seterusnya meningkat kekuatan ekonomi negara.
Hajiji percaya dengan peruntukan RM10 juta untuk AIM yang diumumkan Perdana Menteri, ia telah dapat membantu melancarkan pelaksanaan program yang dirangka agensi itu dalam membantu Sahabat Usahawan di negara ini.
“Oleh itu, saya meminta peniaga untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan kerajaan untuk membangunkan perniagaan mereka.”