Home Berita Gerakan Koperasi bantu basmi kemiskinan tegar: Hajiji

Gerakan Koperasi bantu basmi kemiskinan tegar: Hajiji

Hajiji menyampaikan Anugerah Koperasi Terbaik kepada salah satu penerima di majlis Hari Koperasi di SICC, Sabtu.


KOTA KINABALU: Gerakan koperasi di Sabah boleh membantu membasmi kemiskinan tegar, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau yakin gerakan koperasi di Sabah yang mempunyai 1,707 koperasi berdaftar dan lebih 350,000 ahli di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dapat membantu membasmi kemiskinan tegar di negeri ini.

“Saya berbangga kerana Sabah mempunyai bilangan koperasi berdaftar kedua tertinggi di negara selepas Selangor dengan jumlah pendapatan RM570 juta.

“Ini bukti gerakan koperasi di Sabah berjaya memainkan peranannya dan menyumbang secara signifikan sebagai agen pertumbuhan sosioekonomi yang berpotensi menamatkan kemiskinan tegar,” katanya pada Hari Koperasi Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah ( SICC) di sini Sabtu.

Empat koperasi dari Sabah iaitu Koperasi Pembangunan Usahasama Masyarakat Maju Sabah Berhad, Koperasi Kakitangan Sawit Kinabalu Sabah Berhad, Koperasi Borneo Malaysia Berhad dan Koperasi Usahawan Tawau Berhad telah disenaraikan dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia tahun lalu, katanya.

“Syabas dan tahniah kepada semua koperasi di Sabah. Saya ingin melihat agar lebih banyak lagi koperasi dari Sabah disenaraikan dalam Indeks 100 Koperasi Terbaik Malaysia pada tahun akan datang,” katanya.

 Beliau percaya angka ini boleh dipertingkatkan apabila kesedaran dan minat menyertai koperasi menjadi cara hidup yang menyumbang kepada kemakmuran sosio ekonomi negara.

“Ini adalah kerana wahana koperasi merupakan pendekatan yang efektif bukan sahaja dalam merangsang pembangunan sektor keusahawanan, bahkan berupaya membantu golongan B40 menangani cabaran kos sara hidup yang tinggi,” katanya.

Selaras dengan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)  Sabah berharap gerakan koperasi mengambil peluang sebaiknya inisiatif serta insentif dana yang disediakan dalam memajukan sektor perniagaan koperasi yang diceburi.

“Saya dimaklumkan baru-baru ini Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah meluluskan bantuan pembiayaan Tabung Modal Pusingan SKM Tahun 2023 (TMPSKM) kepada dua koperasi di negeri Sabah dengan dana berjumlah RM25.9 juta dalam bentuk pembelian aset tanah kelapa sawit seluas 1,500 ekar dan juga premis perniagaan runcit.

“SKM juga meluluskan bantuan kepada dua koperasi melalui program pembiayaan yang dikenali sebagai Program eFAST berbentuk geran pembangunan perniagaan kepada koperasi-koperasi yang produktif untuk memantapkan perniagaan.”

Hajiji berkata, koperasi menjadi pelengkap dan berganding bahu bersama kerajaan dan sektor swasta dalam mengisi ruang-ruang kosong perniagaan belum diterokai.

“Saya mahu semua gerakan koperasi di Sabah terus memperkasakan diri, meningkatkan daya saing dan merebut peluang ekonomi yang tersedia. 

“Sabah ada banyak jenis koperasi yang membangunkan sosio ekonomi komuniti yang berkaitan peruncitan atau aktiviti pelancongan dan kelestarian alam sekitar. Negeri ini kaya dengan sumber alam semulajadi dan sosio budaya yang mampu menarik ramai pelancong berkunjung,” katanya.

Menurut beliau, pembukaan semula pintu-pintu masuk sempadan negara memberi impak positif dan menggalakkan pemulihan sektor pelancongan di mana Sabah mencatatkan seramai 1.73 juta ketibaan pelancong pada tahun lalu dan tahun ini dijangka seramai 2.2 juta orang dengan berupaya menjana pendapatan sebanyak RM4.1 bilion.

Beliau menggesa koperasi di Sabah memanfaatkan ledakan industri pelancongan, yang mewujudkan pelbagai peluang perniagaan hiliran seperti penginapan, inap desa, pengangkutan, restoran, taman dan kedai cenderamata.

NO COMMENTS

Exit mobile version