Muh Erwansa (kiri) yang mengalami strok minor selepas mengalami kemalangan menerima kunjungan wakil rakyat dan Perkeso di Taman Hill Top di sini.
Oleh Nilam Raon
TAWAU: “Terima kasih Perkeso. Terima kasih juga kepada wakil rakyat kerana melawat saya,” kata seorang pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang ditimpa minor strok baru-baru ini.
Penolong Eksekutif Logistik Kanan Giatmara Semporna, Muh Erwansa Bohari, 41, menerima sumbangan itu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada Jun lalu.
Beliau yang mengalami strok minor akibat kejadian berkenaan menerima sumbangan tongkat, pakej rawatan fisioterapi dan kotak prihatin Perkeso yang disampaikan kepadanya di Taman Hill Top di sini.
Penolong Pengurus Kes Cawangan Return To Work Perkeso Tawau, Nurin Jazlina Yusof berkata, Perkeso sentiasa membantu pencarum yang memerlukan melalui pelbagai inisiatif yang disediakan agensi itu.
“Bagi kes Muh Erwansa ini, Perkeso akan membantunya menjalani sesi rawatan fisioterapi di hospital sebagai usaha pemulihan agar beliau dapat kembali semula bekerja,” katanya ketika ditemui di sini.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Kukusan, Rina Jainal yang turut hadir di kediaman Muh Erwansa berharap masyarakat cakna dengan fungsi Perkeso yang menyediakan pelbagai bantuan kepada pencarum yang ditimpa musibah.
“Apabila kita mencarum dengan Perkeso sebagai pekerja ini antara manfaat apabila berhadapan isu kesihatan, hilang upaya kekal, kekhilatan serta kematian ada bantuan mengikut kriteria yang diperlukan,” katanya.
Rina berkata, pihaknya bersedia menawarkan lokasi strategik kepada mana-mana pihak yang mahu mewujudkan pusat rehabilitasi untuk pemulihan pesakit.
“Kita sedia bekerjasama dengan mana-mana agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menubuhkan pusat pemulihan atau perlindungan kepada individu yang memerlukan seperti untuk orang kurang upaya dan gelendangan.
“Kita mahu membantu mereka yang memerlukan dengan menawarkan lokasi strategik di kawasan DUN Kukusan ini untuk merealisasikan kewujudan pusat pemulihan atau perlindungan,” katanya lagi.