Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau bersama masyarakat Tiong Hua “Yee Sang” di Tuaran.
TUARAN: Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau berkata pada Tahun Naga ini, kita dapat meraih inspirasi daripada kekayaan makna dalam tradisi Tahun Baru Cina.
Ahli Parlimen Tuaran itu, berkata sementara menikmati perayaan ini, Kerajaan Madani sedang berusaha keras bagi “menoktahkan kemiskinan.”
Selari dengan semangat “Gong Xi Fa Cai,” rakyat juga dapat menyeleraskan penjanaan kekayaan sebagai elemen utama dalam pembentukan identiti budaya kita.
“Jika kita melihat dari segi ekonomi, penekanan sering diberikan kepada bagaimana peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) di peringkat nasional kerana ia dianggap sebagai ukuran “kekayaan” negara.”
“Pada masa yang sama, setiap isi rumah harus mengamalkan pemikiran yang memberi tumpuan kepada pemupukan kemakmuran dan usaha aktif untuk mencapainya, ” Madius berkata demikian dalam ‘Walk About” di Pekan Tuaran pada Ahad.
Katanya tanpa penglibatan aktif daripada semua pihak, matlamat bersama untuk mengurangkan kemiskinan dan membina masyarakat yang sejahtera mungkin sukar dicapai.
Menurutnya, untuk di Sabah, setiap transformasi yang mahu dilaksanakan memerlukan usaha dan kerjasama menyeluruh daripada semua.
Dan yang lebih penting, setiap aspirasi ini perlu disertai dengan tindakan, seiring dengan maksud pada perayaan tradisi sambutan Tahun Baharu Cina.
Seminggu lagi rakan-rakan kita dari suku Tionghua akan meraikan Sambutan Tahun Baharu China.
“Saya telah berkesempatan menyantuni masyarakat Cina di Tamparuli dan Tenghilan dalam satu program walkabout baru-baru ini.”
Pada Ahad, dia juga menyantuni komuniti Cina di sekitar Tuaran.
“Uniknya kalau kita di Sabah ini, setiap perayaan diraikan oleh pelbagai kaum. Kita saling kunjung mengunjungi dan bergembira bersama. Begitu juga dengan sambutan Tahun Baru Cina ini, ” katanya.
Bagi kebanyakan daripada antara kita yang bukan dari keturunan Cina, ungkapan ini mungkin hanya kelihatan sebagai ucapan kebiasaan.
“Namun, selepas bertahun-tahun saya mengikuti perayaan ini bersama kawan-kawan Cina, baru saya tahu bahawa ia bukan sekadar ucapan perayaan Tahun Baru yang biasa-biasa.”
Ungkapan ini sebenarnya membawa maksud suatu harapan untuk kemakmuran, rezeki dan kekayaan, yang jelas tercermin dalam warna-warna terang seperti merah dan emas.
Warna-warna ini bukan hanya sekadar hiasan, tetapi juga mempunyai maksud-maksud tertentu.
Bukan itu sahaja, makanan perayaan ini juga membawa maksud yang penting.
Sebagai contoh Sang Choi atau lettuce. Rupanya, ia adalah salah satu hidangan wajib semasa Malam Tahun Baru Cina.
“Itulah sebabnya, secara tradisinya orang Cina berusaha keras untuk mendapatkannya.”
“Tapi tahukah kamu, bahawa ini bukan hanya tentang manfaat kesihatan atau rasanya yang sedap? Sebaliknya homonim bagi lettuce atau “sang choi” dalam bahasa Kantonis adalah seperti “untuk memperoleh keuntungan, ” katanya.
Begitu juga dengan hidangan ikan dalam tradisi makan malam Tahun Baru Cina. Kepentingannya terletak pada fakta bahwa dalam bahasa Cina, perkataan “yu,” yang bermaksud kelimpahan, memiliki persamaan fonetik dengan perkataan untuk ikan.
Oleh karena itu, hidangan ikan menjadi simbol kekayaan dan kelimpahan dalam perayaan Tahun Baru Cina.
Madius: “Sekali lagi, saya ucapkan Gong Xi Fa Cai!
Semoga Tahun Naga membawa kemakmuran dan keberkatan kepada kita semua!” – Talantang