Home Berita Hajiji seru Wanita GRS bersatu hati

Hajiji seru Wanita GRS bersatu hati

Hajiji melakukan gimik pelancaran Jelajah Wanita GRS di SICC pada Ahad.

KOTA KINABALU: Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diseru terus tingkatkan perpaduan untuk menjadi pasukan yang kuat dalam perjuangan parti dalam usaha membangun negeri dan berkhidmat kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, walaupun kerajaan negeri hari ini masih ada lebih dua tahun memerintah, jentera parti wanita GRS tidak boleh leka, sebaliknya terus bekerja untuk rakyat.

 “Kita kena terus bekerja, perkukuhkan perpaduan, bersatu hati dalam komponen GRS dan elakkan perselisihan faham serta perpecahan dalam kalangan kita.

“Peranan dan tanggungjawab wanita GRS amat penting. GRS amat memerlukan wanita untuk menyampaikan mesej dan perjuangan kepada rakyat di peringkat akar umbi di negeri ini,” katanya merasmikan Pelancaran Jelajah Wanita GRS di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini pada Ahad.

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu yakin di bawah pimpinan Ketua Wanita GRS Datuk Seri Panglima Azizah Mohd, beliau akan membawa wanita GRS sekarang sebagai satu pasukan yang kuat. 

Hajiji yakin wanita mampu perkukuhkan dan kuatkan lagi perpaduan yang sedia wujud sekali gus beroleh kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Beliau melahirkan rasa gembira kerana tujuh parti tempatan dalam GRS terus bersama untuk memastikan perjuangan rakyat dan negeri ini dapat diteruskan.

Katanya, pelbagai cabaran dan ujian ditempuhi kerajaan negeri sejak mengambil alih pentadbiran lebih dua tahun lalu.

“Ini termasuklah Langkah Kinabalu, apabila ada pihak yang cuba menggulingkan kerajaan negeri ketika itu. Bagaimanapun, saya bersyukur atas kesatuan dan perpaduan kita serta sokongan daripada PH, kita dapat mempertahankan kerajaan negeri.

“Mandat ini perlu kita pertahankan dan di sinilah juga peranan wanita GRS amat penting untuk kita mencipta kejayaan dalam PRN akan datang,” katanya menambah yang beliau dimaklumkan oleh Ketua Wanita GRS bahawa mereka melawat ke semua zon di Sabah untuk menjelaskan dasar dan perjuangan kerajaan.

Beliau berkata, kerajaan GRS telah membawa banyak kejayaan selama lebih dua tahun memerintah negeri ini, dan akan membawa lebih banyak lagi pembangunan ke negeri ini.

“Banyak yang kita sudah buat, malah banyak negara mempunyai keyakinan dalam kepimpinan GRS apabila duta dan pesuruhjaya mereka yang datang jumpa saya menyatakan Sabah ada potensi untuk menjadi negeri yang maju. Mereka mahu melabur ke negeri ini.

“Bagaimanapun, pembangkang menyatakan macam-macam cerita terutama Warisan yang masih kabur-kabur dan tidak nampak apa yang telah kita buat dalam masa lebih dua tahun,” katanya.

Katanya semua perlu kuatkan perpaduan dalam GRS, wanita kena bantu dan begitu juga golongan muda. Ini untuk memastikan perjuangan kita dalam GRS dapat mencapai kejayaan pada masa akan datang.

Hajiji menasihatkan semua ahli untuk tidak melakukan kesilapan hingga berpecah belah.  Sabah adalah negeri dan rumah rakyat Sabah. Kepentingan rakyat sentiasa didahulukan dan inilah perjuangan GRS, katanya.

NO COMMENTS

Exit mobile version