Petugas keselamatan membelah perut buaya dan menemukan beberapa ketulan daging manusia seperti kaki didalamnya, disahkan milik nelayan yang dilapor hilang pada Rabu. – Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah
Oleh Nilam Raon
TAWAU: Cebisan mayat, dipercayai milik nelayan warga emas yang dilaporkan hilang sejak Rabu ketika turun dengan menaiki bot di Sungai Kg Mas-Mas Nasib Kita, ditemukan dalam perut seekor buaya, pada Ahad.
Mayat yang tidak lagi sempurna keadaannya itu disahkan Addi Bangsa, 60, dijumpai di dalam perut buaya jantan yang mempunyai anggaran berat 800 kilogram dengan panjang kira-kira 14 kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, operasi hari ke-empat bersama anggota Jabatan Hidupan Liar menemukan seekor buaya lalu bertindak menembak dan kemudian membelah perut haiwan reptilia itu.
“Didapati benar terdapat cebisan dan ketulan mayat manusia seperti kaki berada dalam perut buaya selepas ia dibelah.
“Pengecaman identiti mangsa sudah dibuat oleh ahli keluarga mangsa dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Hidupan Liar Tawau Primus Lambut ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu.
Haiwan pemangsa itu ditembak kira-kira jam 4 pagi tadi di kawasan laut iaitu, 1.5 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Kami telah menerima maklumat daripada pihak bomba pada hari kedua operasi dan selepas itu saya mengarahkan anggota untuk membantu operasi. Saya mengarahkan untuk menembak terus haiwan itu jika terjumpa dengannya,” katanya.
Primus berkata, selepas tembakan dilepaskan buaya berkenaan dibawa ke darat untuk pemeriksaan lanjut bersama polis dan bomba.
Beliau berkata, kawasan tersebut memang mempunyai banyak buaya yang aktif pada waktu malam.