Pelajar SMK Kota Marudu tekun mengecat kemudahan awam yang ada di taman awan Majlis MDKM.
Oleh Hardy Joe
KOTA MARUDU: Menyahut seruan untuk mencantik dan menceriakan alam, 10 pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Marudu mengambil inisiatif mengecat kemudahan di taman awam Majlis Daerah Kota Marudu (MDKM) di sini.
Ini juga adalah kegiatan amal yang dilakukan oleh pelajar daripada Kelab Pencinta Alam sekolah itu.
Kemudahan awam seperti pondok rehat dan trek joging di taman itu yang selama ini kelihatan lesu tidak bermaya, kembali ceria dan diharap suasana baru itu akan dapat menarik ramai berkunjung di sana.
Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SMK Kota Marudu, Luna Moon Bahanja, 43, berkata menceriakan tempat awam seperti yang dilakukan pelajar SMK Kota Marudu di taman awam pekan ini adalah usaha baik yang perlu dicontohi.
“Usaha mereka ini akan pasti menimbulkan kesedaran orang ramai supaya sama-sama menjaga kebersihan kemudahan awam dan alam sekitar.
“Mengecat pondok rehat dan trek berjoging sepanjang 300 meter adalah sebahagian kegiatan yang dilakukan pelajar SMK Kota Marudu pada waktu lapang, selain menjadi kerja amal mereka,” katanya berbangga dengan aktiviti kelab itu.
Menurut Luna, mereka mahu mewujudkan kesederan terutama di kalangan generasi baharu mengenai pentingnya kebersihan dan keceriaan tempat awam yang perlu dipelihara sebaik mungkin.
Beliau memberitahu bahawa ahli kelab itu merancang untuk melakukan aktiviti yang sama di beberapa lagi lokasi yang dipilih. Salah satu pilihan seterusnya ialah mengindahkan replika jagung yang menjadi mercu tanda daerah ini.
Katanya, kegiatan itu memberi kebaikan kepada semua serta perlu diteruskan dan diperluaskan di tempat awam sekitar pekan ini yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Taman awam MDKM dipilih kerana memiliki keunikan tersendiri seperti pokok berbunga mengikut musim seperti bunga Sakura.
“Pokok ini menarik perhatian haiwan lain seperti burung merbok, punai biru, tekukur, pipit, kelicap, tupai dan rama-rama terutama ketika bunga-bunga sedang mekar mengembang,” katanya.
Luna Moon berkata, taman awam perlu dijaga dan sentiasa dibersihkan supaya pengunjung berasa lebih selesa ketika melakukan aktiviti riadah di sana.
Beliau berkata, peralatan seperti cat serta berus digunakan pelajar terbabit menyudahkan kerja mereka disediakan MDKM.