Home Berita Briana juara Pidato bahasa ibunda Sabah yang pertama

Briana juara Pidato bahasa ibunda Sabah yang pertama

Briana merakam gambar bersama piala kemenangannya.

Oleh Percy Goliu

KOTA KINABALU: Briana Ann Marunsai menjuarai Pertandingan Pidato Bahasa Ibunda di antara Sekolah-Sekolah Adat Anak Negeri Sabah (SAAN) yang pertama anjuran Persatuan Pengamal Adat Sabah (Sunduan Nabalu) yang diadakan pada Februari.

Kepetahan remaja itu berbahasa Rungus ditambah dengan gaya persembahan dan pakaian tradisi lengkap membolehkan dia mengalahkan 12 lagi pemidato daripada pelbagai sekolah adat seluruh negeri.

Dr Benedict Topin (tengah depan) bersama hadirin daripada sekolah-sekolah adat mendengar perbentangan pemidato.

Pertandingan ini adalah anjuran bersama dengan Kolaborasi Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS UMS) yang dirasmikan oleh Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) Tindarama Dr Benedict Topin.

Gaya penyampaiannya yang mantap, mahir berbahasa ibunda dengan fasih mengalahkan pemidato lain menjadikannya pemenang pertama dalam pertandingan bersejarah ini.
Briana yang mewakili SAAN daripada Matunggong mempertaruhkan bahasa Rungus.

Antara bahasa ibunda yang digunakan dalam pidato ini ialah selain daripada bahasa Rungus ialah Tidung, Tompizos, Tagahas, Tobilung, Murut Nabai, Bookan, Murut Paluan, Lotud, Kimaragang, Sandayo, Kadazan dan Bunduliwan.

Dalam kriteria pengadilan, peserta pertandingan turut diadili dari aspek intonasi, penghayatan dan sebutan yang jelas oleh para juri bertauliah yang pakar dalam bahasa ibunda.

Tempat kedua dimenangi Noorhidayah Skhela Timis dari etnik Tobilung mewakili  Kota Marudu. Tangga ketiga dan keempat diambil Agnes Bacon (Kovosoi Nabawan Etnik Paluan) dan Jolneh@Juliana Sumbing (Ulu Tuaran – Etnik Tagahas).

Pertandingan berpidato ini adalah yang pertama diadakan di Malaysia dengan matlamat memelihara dan menggalakkan warisan linguistik yang kaya daripada pelbagai komuniti Orang Asal Sabah.

Tema pertandingan tahun ini ialah ‘Bahasa Ibunda: Tiang Seri Adat Budaya’.
Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang diisytiharkan oleh UNESCO ini disambut secara global pada 21 Februari setiap tahun.

Sambutan tahun ini mendapat makna tambahan sebagai sebahagian daripada Dekad Antarabangsa Bahasa Orang Asal UNESCO (2022-2032) di mana ia menekankan keperluan mendesak untuk memelihara khazanah linguistik ini.

Timbalan Pengarah BorIIS UMS Dr Jeannet Stephen berkata, pertandingan pidato dalam pelbagai bahasa ibunda masyarakat Orang Asal di negeri Sabah ini selari dengan tema sambutan UNESCO.

“Pertandingan pidato dalam pelbagai bahasa ibunda masyarakat Orang Asal Sabah adalah antara cara kita untuk memperkasakan kelestarian bahasa orang asal di sini,” katanya.

Kolaborasi antara Sunduan Nabalu dan BorIIS UMS ini adalah bahan dokumentasi untuk mendaftarkan Sekolah Adat Anak Negeri Sabah dalam Senarai Amalan Baik Perlindungan UNESCO.

Ia merupakan program yang amat baik di mana negara seperti Filipina dan Perancis mendapat pencapaian yang mampu mengukuhkan program linguistik masing-masing.

Presiden Sunduan Nabalu Shalmon Sanangan berkata, projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif #roadtoUNESCO yang dilancarkan tahun lalu bertujuan untuk menonjolkan pentingnya bahasa Orang Asal dalam pendidikan.

“Mesyuarat pengetua sekolah adat yang diadakan pasca-acara membincangkan perancangan untuk bengkel dokumentasi khusus bagi proses penyediaan bahan yang diperlukan oleh Daftar UNESCO berkenaan,” tambahnya dalam satu kenyataan.

Exit mobile version