Home Berita Hajiji tempelak Shafie jaja cerita bohong

Hajiji tempelak Shafie jaja cerita bohong

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada Majlis Perasmian Mini Karnival Gagasan Rakyat 2024 di perkarangan pejabat Gagasan Rakyat di Alamesra, Kota Kinabalu pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan, khususnya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditempelak kerana menjaja cerita politik bohong untuk merendahkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) PH Plus yang mentadbir negeri ketika ini.

Ketua Menteri yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mendakwa Shafie hanya pandai menyebar cerita yang bukan bukan dan menabur fitnah tanpa menilai apa yang sudah dilakukan GRS PH Plus sehingga kini.

Katanya, tuduhan Shafie yang mengatakan kerajaan GRS gagal adalah tidak berasas, sebaliknya beliau berkata kerajaan pimpinan Presiden Warisan itu selama dua tahun setengah sebelum ini yang gagal menampakkan perubahan ketara untuk rakyat.

“Banyak perubahan yang kita laksanakan. Saya ingin menyatakan bahawa kita (GRS) berjaya sebagai sebuah kerajaan kerana kita banyak buat program untuk rakyat dan pembangunannya..

“Yang gagal adalah Warisan, Shafie Apdal, dia cakap kerajaan (GRS) gagal. Kita mahu tanya Shafie apa Warisan buat dua tahun setengah memerintah Sabah sebelum ini?

“Tapi, berucap sana sini, beliau cakap bahawa kerajaan ini gagal..gagal apa? Yang gagal ialah Shafie dan Warisan. Saya tidak nampak apa dia buat dua tahun setengah di Sabah.

“Kerana itulah Warisan dan Shafie ditolak rakyat, kita tidak boleh kelentong atau cakap kosong. Cakap kerajaan GRS gagal, apa gagalnya? Yang gagal ialah Shafie dan Warisan,” katanya ketika merasmikan Mini Karnival Gagasan Rakyat 2024 di Alamesra, di sini pada Sabtu.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, berbohong dan menjaja cerita yang bukan bukan dan membuat fitnah adalah tabiat pemimpin Warisan terutama Shafie.

“Saya bercakap ini kerana saya nampak, kalau tidak gagal tentu mereka terus menjadi kerajaan tapi mereka tidak jadi kerajaan.

“Dulupun menjadi Ketua Menteri dan kerajaan bukan kerana mendapat mandat rakyat. Dia bubar Dewan Undangan Negeri (DUN) pun tidak mendapat mandat rakyat, jadi apa yang Shafie jaja di Sabah selama ini dan bercakap macam-macam, itu semua bohong.

“Kita mesti bercakap benar kepada rakyat, saya percaya rakyat Sabah pandai menilai, kita tidak sanggup pemimpin begini memerintah Sabah sekaili lagi.

“Dia (Shafie) bilang kalau pegang kerajaan mau buat itu ini, ubah perlembagaan. Ini tidak tahu cerita macam dia saja yang pandai, orang lain tidak pandai. Dia hanya pandai merendahkan orang lain dan bercakap di mana mana, termasuk pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina,” tegasnya.

Hajiji mengakui, beliau tidak pandai bercakap seperti Shafie, selain tidak suka terlalu berpolitik, namun menegaskan beliau ikhlas dalam perjuangan untuk rakyat dan negeri Sabah.

“Saya nampak di media sosial menuduh kerajaan GRS gagal, tapi saya yakin rakyat kita tahu keadaan dan mereka pandai menilai. Yang cakap ini pemimpin Warisan, memang begitu dari dulu putar belit,” katanya.

Ketua Menteri turut bertanya kepada Shafie jumlah pelabur yang datang sepanjang dua tahun setengah kerajaan Warisan memerintah.

Katanya, jika dibandingkan dengan GRS dalam tempoh dua tahun kemasukan pelaburan ke negeri ini sudah berjaya memenuhkan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sabah (SOGIP), manakala Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) hampir penuh.

Jelasnya, pencapaian itu disebabkan keyakinan pelabur kepada kerajaan sekarang dan atas sebab itu juga, kerajaan negeri merancang untuk membuka taman perindustrian minyak dan gas yang baharu di Kimanis serta sebuah lagi taman perindustrian baru di antara Kota Belud dengan Kota Marudu atau Kudat.

“Semua ini untuk rakyat, kita bawa pelabur untuk wujudkan peluang kerja dan saya fokus untuk rakyat. Beribu kerja kita dapat wujudkan menerusi kemasukan pelabur ini. Ini yang kita buat, bukan jaja cerita politik.

“Sekarang lagi mahu dekat pilihan raya, semua hentam macam mereka adalah malaikat, saya dihentam siang malam,” katanya.

Hajiji juga mengakui banyak masalah seperti isu air yang perlu diatasi namun menegaskan isu yang diwarisi daripada kerajaan lalu itu akan dapat diselesaikan menerusi kesungguhan kerajaan negeri pimpinannya.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor  menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna sempena Mini Karnival Gagasan Rakyat 2024 di perkarangan pejabat Gagasan Rakyat di Alamesra, Kota Kinabalu pada Sabtu.

Turut hadir ialah Naib Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Haji Dr.Mohd Arifin Mohd.Arif dan Datuk Masiung Banah, Setiausaha Agung, Datuk Mohd Razali Razi, Ketua Pergerakan Pemuda Negeri, Datuk Fairuz Renddan, Ketua Wanita Negeri, Datuk Redonah Bahanda dan Ketua Beliawanis Negeri, Cik Emmie M. Idang.

Exit mobile version