Home Berita Parti Sedar Rakyat sokong tindakan Menteri Undang Undang

Parti Sedar Rakyat sokong tindakan Menteri Undang Undang

Dr Julia……pelaku dan pentadbir sekolah yang gagal melapor kejadian gangguan seks mesti digantung serta-merta.

KOTA KINABALU: Parti Sedar Rakyat (SEDAR) menyambut baik kenyataan tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) bahawa kerajaan akan mencari dan mendakwa pentadbir dan guru sekolah yang gagal melaporkan kejadian mencabul murid sekolah mereka.

Timbalan pengerusi majlis kerja Negeri Sabah  parti itu Dr Julia Emelda Ongkili berkata selaku pemimpin masyarakat dia juga kerap mendengar berlaku kes gangguan seksual di sekolah-sekolah ini namun begitu jarang kita dengar ada pendakwaan.

“Dalam hal ini saya bersependapat dengan Menteri Datuk Azalina Othman Said bahawa salah satu cabaran besar ialah “kekurangan laporan”, ” Dr Julia berkata dalam satu kenyataan hari ini.

Akta Gangguan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 1972) tidak ada ertinya jika pihak berkenaan bersekongkol menyembunyikan kes-kes tersebut sebaliknya tindakan itu boleh menyebabkan si pelaku terus melakukan perbuatan kejinya kepada murid atau kanak-kanak yang lain.

Katanya, jaminan tegas menteri untuk melindungi pemberi maklumat juga tepat sekali memandangkan seseorang pelaku ini mungkin juga seorang yang berpangkat di sekolah atau ada kaitan rapat dengan mereka yang berpengaruh, dan ini boleh menakutkan pemberi maklumat.

Dr Julia juga berkat Parti Sedar Rakyat berpendapat ada tindakan tegas lain yang perlu diambil terhadap pelaku, pentadbir sekolah yang menyembunyi kes serta kepada semua murid bagi membantu mencegah gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

“Saya berpendapat pelaku dan pentadbir sekolah yang gagal melapor kejadian gangguan seks mesti digantung serta-merta dari tugas mereka tanpa gaji bagi mengelak mereka boleh berdekatan dengan mangsa atau murid yang lain,” katanya.

Menurutnya satu lagi jika ini belum dilakukan, hendaklah ada dalam kurikulum atau penerangan khas kepada semua murid pada setiap mula persekolahan mereka diberitahu hak-hak mereka sebagai kanak-kanak dan apa-apa batas setakat mana guru-guru boleh menyentuh bahagian tubuh mereka.

“Saya rasa dengan cara ini, maka si pelaku boleh dikesan awal dan diberi amaran lisan serta diwajibkan menjauhkan diri dari murid berkenaan.”

“Saya juga berpendapat apa-apa kegiatan di luar kawasan sekolah yang dikendalikan pihak sekolah atau Kementerian Pendidikan hendaklah juga dipantau rapat dan tertakluk kepada jaminan menteri ia tidak terlepas dari tindakan tegas jika ada yang mengambil peluang, seperti ada berlaku di sana sini,” Dr Julia.

Exit mobile version