Home Berita Kehilangan wang dipercayai punca pelajar Kolej Vokasional dibelasah hingga mati – Dr...

Kehilangan wang dipercayai punca pelajar Kolej Vokasional dibelasah hingga mati – Dr Rohan

LAHAD DATU: Perselisihan faham kehilangan wang berjumlah RM35 dan RM50 dipercayai punca pelajar mati dipukul oleh rakan penghuni asrama Kolej Vokasional di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad, berkata hasil siasatan polis mendapati kejadian berlaku, apabila timbul masalah dua pelajar di asrama berkenaan kehilangan wang berjumlah RM50 dan RM35.

“Mangsa dituduh sebagai pencuri dan dipukul sehingga mati oleh semua suspek.

“Polis telah menahan seramai 13 pelajar lelaki kolej vokasional yang berusia 16 hingga 19 tahun yang disyaki terbabit dalam kes ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pihak Mahkamah Lahad Datu telah membenarkan tahanan reman selama enam hari bermula 23 hingga 29 Mac 2024.

“Setakat ini, polis turut mengambil keterangan ke atas 12 saksi bebas yang antaranya empat warden asrama, pengawal keselamatan dan beberapa pelajar kolej terbabit.

“Selain daripada itu, ujian saringan air kencing terhadap semua suspek bebas daripada penyalahgunaan dadah dan polis turut merampas lagi 12 telefon pintar milik suspek,” katanya.

Sementara itu, Dr Rohan berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat mangsa daripada Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi mengenal pasti punca kematian sebenar,” katanya.

Ahli keluarga mangsa di Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu. – Gambar PDRM

Semalam, mangsa Mohammad Nazmie Aizzat Muhd Narul Azwan, 17, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh warden asrama yang bertugas pada 6.50 pagi.

Mangsa pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu dengan program Bioteknologi adalah penghuni asrama kolej berkenaan ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Hospital Lahad Datu yang hadir untuk memberikan rawatan kecemasan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Exit mobile version