Home Berita Lelaki hilang selepas bot bertembung ditemui lemas

Lelaki hilang selepas bot bertembung ditemui lemas

Mayat mangsa ditemui pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian di perairan Pulau Tanjung Batu, Sandakan. Gambar Ihsan Bomba

SANDAKAN: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bertembung dengan sebuah lagi bot di perairan Pulau Tanjung Batu, di sini ditemukan lemas, petang Isnin.

Mayat Simran Asarap, 23, ditemukan oleh orang awam satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang, pada jam 3.34 petang..

Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 12.44 tengah malam.

Katanya, sepasukan empat anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula jam 7.30 pagi tadi.

Operasi turut dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan bot orang awam.

“Mangsa ditemukan terapung oleh orang awam pada jarak satu kilometer dari lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia oleh pihak polis,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke rumah ahli keluarga terdekat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.40 petang.

Terdahulu, bot mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah lagi bot lain di perairan berkenaan kira-kira jam 12 tengah malam, sebelum dia dilaporkan terjatuh dan hilang di laut berkenaan.



Exit mobile version