Home Berita Sejarah Dusun Talantang kurang dikenali, perlu dikaji

Sejarah Dusun Talantang kurang dikenali, perlu dikaji

Wanita Dusun Talantang kelihatan anggun dengan busana tradisional mereka

Isahak

Oleh: Penulis TSN

KOTA KINABALU: Antara Dusun Talantang dan Liwan, masyarakat Sabah lebih mengenali etnik Liwan berbanding Talantang. Ini mungkin disebabkan hampir tiada kajian dibuat mengenai Dusun Talantang menyebabkan suku Dusunik ini kurang diketahui umum.Malah, Pengkaji Bebas Etnik Dusun Ranau, Isahak Sanudin mengakui, ramai penduduk terutama generasi muda di Ranau dan di daerah pedalaman lain yang ramai penduduk Dusun, tidak pernah mendengar nama kaum itu. 

“Mungkin ada yang tahu dengan nama itu yang merujuk kepada nama kampung atau nama pokok. Namun, ramai tidak ramai tahu bahawa Talantang itu adalah suku kaum paling awal wujud daripada keluarga Dusun.” 

“Ramai tidak tahu sebab belum ada penulisan berbentuk akademik dibuat untuk mengupas persoalan tentang suku Dusun Talantang ini, apatah lagi yang berkaitan dengan sejarah asal usul dan inisiatif bagi membincangkan tentang dialeknya. 

“Sebenarnya peranan suku Dusun Talantang dalam pembentukan masyarakat Dusun di negeri Sabah adalah besar dan penting. Suku inilah yang menjadi pengikat kepada semua suku Dusun yang wujud di negeri ini melalui legenda Nunuk Ragang,” katanya. 

Isahak dalam kertas kerja seminar penyelidikan serantau bahasa, budaya dan sastera masyarakat KDMR membincangkan secara ringkas mengenai asal usul, bahasa dan kedudukan suku Talantang dalam keluarga Dusunik di Sabah. 

Beliau mengatakan bahawa secara ringkas suku Dusun Talantang dipecahkan kepada 16 puak yang membentuk sub-sub dalam Suku Talantang seperti Tuawon @ Tuhawon, Tibabar, Toriwad, Manampaka, Gana, Sukang dan Tobilung. 

Apabila disebut Dusun Ranau, maka akan terkaitlah sub-etnik Liwan. Tanggapan popular orang ramai terutamanya masyarakat Dusun di Sabah amnya bahawa Dusun di Ranau hanya suku Dusun Liwan. 

“Ini juga membawa kepada tanggapan popular lain bahawa di Daerah Ranau ini hanya ada satu dialek iaitu dialek Liwan tanpa mengetahui terdapatnya dialek Dusun lain. 

“Persoalan yang memerlukan jawapan sekarang ialah benarkah Dusun Talantang berasal dari Daerah Ranau? Siapakah yang dikategorikan sebagai Dusun Talantang? Di manakah petempatan keturunan suku Dusun Talantang tersebar di seluruh Sabah?” 

Hasil kajian Isahak, beliau merumuskan bahawa kemungkinan besar sejarah Dusun Talantang bermula dari muara Sungai Labuk apabila sepasang suami isteri dipercayai berada dalam kapal yang pecah dipukul ombak di muara sungai Labuk Sugud. 

Namun katanya, asal daripada mana kapal besar tidak diketahui. Dari mana pasangan itu dan untuk ke mana juga tiada siapa yang tahu. Ia adalah cerita orang-orang dahulu yang diturun melalui mulut. 

Sumber memberitahunya bahawa apabila pasangan ini sampai di Nunuk Ragang, ada sepohon pokok Nunuk yang masih kecil tumbuh menumpang pada batu antara pertemuan Sungai Liwogu Kogibangan dengan Sungai Liwogu Kawananan. 

Pasangan suami isteri ini membawa pelbagai biji benih padi, terung, timun, kacang panjang yang dimasukkan di dalam subpa iaitu bekas yang diperbuat daripada bambu nipis (wulu) supaya bijih benih itu tidak rosak. 

Mereka membina rumah berhampiran dengan sepohon pokok tinggi yang dinamakan pokok Talantang yang mempunyai ukur lilit beberapa pemeluk. Berdasarkan nama pokok itulah dikatakan suku Talantang mendapat nama sebagai jati diri. 

Pasangan ini dikatakan menetap di sini sehingga beranak pinak. Sungai Liwogu Kawananan berpunca dari Gunung Kinabalu manakala Sungai Liwogu Kogibangan berpunca daripada Gunung Trusmadi. 

Mereka dikurniakan 14 orang anak iaitu tujuh perempuan dan tujuh lelaki. Disebabkan pada masa itu belum ada orang lain yang tinggal berhampiran dengan kawasan itu, maka tiada cara lain melainkan mengahwinkan anak-anak mereka sesama sendiri. 

Perkahwinan dengan orang luar keluarga itu hanya dibenarkan selepas tujuh keturunan. Masa beredar, daripada sepasang suami isteri berkembang menjadi sekelompok penduduk di kawasan pertemuan sungai tersebut. Kehidupan mereka di situ aman damai tanpa gangguan daripada musuh atau makhluk lain. Suasana riang anak-anak yang membesar di tepi sungai bermandi manda dan selepas mandi anak-anak berjemur dengan memanjat dahan-dahan pokok ara. 

Daripada kejauhan, orang yang melihat dahan-dahan pokok ara itu berwarna kemerah-merahan. Daripada peristiwa ini pokok ara tersebut dipanggil ‘Nunuk Ragang’ yang bermaksud pokok ara merah. 

Penduduk di kawasan Nunuk Ragang semakin ramai dan padat serta sesak. Sebahagian daripada mereka mula membentuk kumpulan kecil untuk berpindah dari tempat asal nenek moyang mereka. 

Lama-kelamaan semua penduduk di Nunuk Ragang telah berpindah menggunakan laluan Sungai Liwogu Kogibangan yang berpunca dari pergunungan Trusmadi. Sungai Liwogu Kawananan agak kurang diminati mereka untuk djadikan laluan berhijrah kerana arusnya yang ganas apabila musim banjir. 

Bermulalah perpecahan sekelompok manusia yang berasal daripada Nunuk Ragang kepada beberapa puak. Puak-puak ini menjadi sub daripada kumpulan besar dan mempunyai nama masing-masing mengikut ciri-ciri dan keadaan tempat mereka tinggal. 

Ada juga nama puak baharu yang wujud setelah mereka berada jauh dari Nunuk Ragang, seperti Suku Tobilung dan Sukang. 

Daripada satu kumpulan besar telah berpecah kepada beberapa puak sehingga ada di antara puak-puak ini saling bermusuhan, contohnya puak Tibabar dan puak Tuawon atau Tuhawon. 

Isahak mendedahkan bagaimana Suku Dusun Talantang dari Nunuk Ragang ini tersebar ke seluruh Sabah. Etnik Dusun adalah salah satu anak negeri Sabah yang berstatus bumiputera dan termasuk dalam kelompok orang asal. 

“Kebanyakan puak ini sampai ke hulu (Sarayo) anak-anak sungai yang berpunca di pergunungan Trusmadi dan meneruskan lagi perpindahan ke sebelah bukit dengan ‘lumapai.’ 

Ada yang ke Barat, Utara, selatan dan Timur. Ke selatan iaitu Kanawahon, dari Kanawahon ke Sinua, Koromuok dan Intilibon melalui Sungai Koromuok – Dusun Sukang. 

“Kampung-kampung tertua yang ada di timur pergunungan Trusmadi ialah Kodop, Pudau dan beberapa lagi yang lain. Sebelah barat Trusmadi ialah Daerah Tambunan dan sebelah utara Trusmadi ialah kawasan Kampung Mindohuon, Molout Ranau dan kawasan Pekan Ranau.” 

Di sebelah timur Trusmadi kampung-kampung tertua dan pernah menjadi perkampungan terbesar suku Dusun Talantang ialah Kampung Ganawau. Dari kampung ini wujudnya Kampung Maitap Ulu Moroli dan Kampung Pogun Tanaru Ulu Sungai Tongod. 

Kebanyakan puak yang sampai ke daerah Tambunan adalah puak Tuhawon dan Pahu @ Pao. Mereka membuka Kampung Sunsuron. Suku Tuhawon ini biasa dipanggil sebagai orang Liwan yang bermaksud ‘orang luar dari sebelah gunung’. 

Puak yang sampai di sempadan Tambunan dan Ranau ramai berhijrah ke daerah Tamparuli, Kiulu, Tuaran, Kota Belud, Penampang, Papar, Inanam, Manggatal, Beaufort dan Tenom. 

Apabila wabak penyakit menyerang, ramai yang lari dan berpindah ke sebelah timur seperti ke Kebuh Lama, Ganawau, dan di hulu Sungai Moroli iaitu Kampung Maitap dan kawasan Sungai Molout. 

Rombongan terakhir yang telah meninggalkan Kampung Pogun Tanaru Tongod ialah orang Muruk dan Narawang iaitu keluarga Basiau dan keluarga Indang yang ada di Inanam dan berhijrah ke Kota Belud dan menjadi salah satu suku Dusun di situ iaitu Dusun Tobilung. Kini sebahagian yang lain ke Kota Marudu. 

Banyak kampung Talantang di sebelah Pantai Barat Sabah kebanyakan berasal dari sempadan Ranau dan Tambunan seperti Kg Kawakaan Inanam yang berasal dari Kg Mumpait Ranau, Luwang Mondou, Rindingan dan Tobobon. 

Talantang Tambunan (Tuawon dan Pahu) ramai ke Penampang, Keningau, Sook, Tenom, Beaufort, Inanam dan Menggatal. 

Puak yang paling berpengaruh dan masih ramai mengaku keturunannya hingga kini ialah puak Tuawon dan Tibabar. Diceritakan dua puak inilah yang sentiasa bermusuhan sehingga kedua puak ini berdamai setelah membuat perjanjian perdamaian. 

“Dapatan kajian saya setakat ini menunjukkan dengan jelas betapa Dusun Talantang adalah antara suku Dusun yang dominan dalam masyarakat Dusun bukan sahaja di Ranau bahkan juga di kawasan petempatan Dusun lain di Sabah,” katanya. 

Isahak berharap kajiannya ini akan menjadi titik tolak kepada kajian yang lebih mendalam dan terperinci serta lebih ilmiah mengenai sejarah Dusun Talantang pada masa akan datang. 

Beliau berharap dapat menambah khazanah penelitian tentang variasi sub-etnik dan secara langsung dapat mengetahui dan mengenali salah satu sub-etnik yang ada dalam masyarakat Dusun di Sabah. 

Note: Isu kedua ialah dialek Dusun Talantang. 

NO COMMENTS

Exit mobile version