Home Berita Anggota APMM buta sebelah akibat ditembak penyeludup

Anggota APMM buta sebelah akibat ditembak penyeludup

Ketua Pengarah APMM Hamid Mohd Amin berkata Zainal Abad Komel buta sebelah susulan peluru terkena saraf, manakala, Prayrie De Cuella Jimin cedera dua belah tangan dalam keadaan stabil. (Gambar APPM)

TAWAU: Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) disahkan buta sebelah akibat terkena peluru dalam insiden berbalas tembak dengan penjenayah di perairan Kunak, pada Ahad.

Ketua Pengarah APMM, Hamid Mohd Amin, berkata Zainal Abad Komel, 45, selamat menjalani pembedahan di Hospital Tawau dan dalam keadaan stabil.

“Saya telah melawat dia tadi Alhamdulillah, namun disebabkan kejadian itu saya nak maklumkan telah disahkan oleh pihak doktor yang mana dia akan buta sebelah mata sebab tak dapat nak selamatkan saraf dekat mata sebab peluru terkena saraf.

“Dia hilang sebelah mata kekal tanpa penglihatan, tetapi Alhamdulillah sebelah kanan elok. Jadi ini menjadi satu insiden amat sensitif pada kita,” katanya pada sidang media di Tawau.

Beliau berkata, seorang lagi anggotanya, Prayrie De Cuella Jimin, 35, yang cedera di kedua belah tangan juga dalam keadaan stabil.

Hamid berkata, suspek tersebut sebelum ini telah disiasat berada di kawasan di Suba Duyung dan Batik Parang untuk aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Kita dapati mereka melakukan jenayah menyeludup barang. Polis telah mengenal pasti suspek dan kita bergabung tenaga bersama pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) serta polis melalui penggunaan aset yang terlibat.

“Fokus kita sekarang ini adalah melibatkan sektor Lahad Datu sehingga Semporna, Kunak, dan Tawau di bawah naungan ESSCOM,” katanya.

Sementara itu, Komander ESSCOM Victor Sanjos, berkata seorang daripada suspek dikenal pasti warga asing juga disenaraikan sebagai orang dikehendaki.

Katanya, pihanya sedang menggemblengkan semua aset yang ada di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) untuk menangkap suspek tersebut.

Sebelum itu, media melaporkan dua anggota APMM cedera apabila tiga penjenayah melepaskan empat das tembakan ke arah bot Banggi 48 di perairan Kunak, dalam kejadian pada 8.40 pagi, Ahad.

Ketika kejadian, pasukan APMM sedang menjalankan Ops Khas Pagar di perairan tersebut sebelum mengesan sebuah bot yang dinaiki suspek yang turut memiliki senjata api

Exit mobile version