Mohd Azrone Sarabatin…Lagu ciptaannya Endiam Sengkaban karya Mohd Azrone Sarabatin menjuarai Anugerah Lagu SABAHVfm 2023 kategori Lagu Bajau pada 3 Ogos 2023.
KOTA KINABALU: Setelah 28 tahun menangguhkan pembabitannya dalam dunia seni hiburan tempatan khususnya sebagai penulis lirik lagu etnik Bajau, Mohd Azrone Sarabatin kembali mewarnai industrik muzik Sabah dengan menghasilkan karya kreatif yang segar dan berkualiti.
Mohd Azrone, 49, yang pernah bertugas sebagai wartawan Berita Harian selama 22 tahun, turut menjadikan kemunculan semula beliau pada 2022 sebagai peluang untuk menonjolkan keindahan budaya serta jati diri kaum Bajau dalam setiap lirik yang dihasilkan.
Beliau berpendapat lagu Bajau boleh menjadi platform untuk mendidik dan menghibur masyarakat khususnya generasi muda suku kaum itu, malah tiga karyanya telah diluluskan untuk siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta berdaftar dengan Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia.
“Saya suka mengetengahkan bahasa klasik bagi mendedahkan generasi muda kepada perbendaharaan kata termasuk bidalan yang jarang didengar atau tidak lagi digunakan.”
“Saya juga gemar menonjolkan budaya dan jati diri bangsa dalam lirik lagu yang dihasilkan.
“Saya ingin menjadikan lagu sebagai ‘didik hibur’ masyarakat,” kata anak jati Kampung Labuan, Kota Belud itu ketika ditemui Bernama.
Lagu Endiam Sengkaban menjuarai Anugerah Juara Lagu Etnik Sabah (AJLES) 2023 Kategori Bajau pada 6 Mei 2023.
Lirik sentuhan Mohd Azrone terbukti berjaya menambah hati pendengar apabila lagu berjudul ‘Endiam Sengkaban’ menjuarai Anugerah Juara Lagu Etnik Sabah dan Anugerah Lagu SABAHVfm bagi kategori Bajau pada tahun lepas.
“Saya percaya lagu adalah medium terbaik untuk mengangkat martabat budaya sesuatu etnik apatah lagi sekarang setiap lagu boleh dimuat naik dalam pelantar media sosial. Pendengar atau penontonnya bukan hanya terdiri daripada etnik Bajau, bahkan kaum lain juga.
“Ini sekali gus akan dapat mengembangkan lagi lagu etnik Bajau ke tahap lebih tinggi untuk hiburan semua kaum,” katanya yang kini lebih tertumpu menghasilkan lagu genre balada.
Mengimbau pembabitan awal dalam industri seni tempatan Sabah pada 1996, Mohd Azrone berkata ketika itu kebanyakan lirik lagu yang dihasilkan bertema patriotik kerana dikhususkan untuk program motivasi pelajar dan belia di kampung halamannya di Kota Belud.
“Saya juga membantu arwah sepupu, Allahyarham Awang Rasin Momin menambah baik lirik lagu ciptaan beliau. Arwah adalah komposer dan penerbit album lagu Bajau,” katanya yang ketika itu juga penulis kreatif Sastera Melayu khususnya puisi.
Sekitar 1996 juga, menurut Mohd Azrone komposer dan penyanyi lagu Bajau iaitu Allahyarham AK Muhiddin telah mencadangkan agar beliau menterjemah puisi ke bahasa Bajau untuk dijadikan lagu.
“Di sini bermula minat saya menulis lirik lagu Bajau, namun masih belum begitu serius hanya sesekali sahaja itu pun bukan untuk rakaman album hanya untuk nyanyian acara belia dan program motivasi pelajar.
“Pembabitan saya dalam dunia seni tertangguh selepas menceburi bidang kewartawanan pada 1998 hingga 2020.
Kemudian, pada 2022 saya kembali aktif dalam bidang ini selepas dipelawa komposer dan penerbit S.Nazri Kausar Production Nazri Saidali berkolaborasi menulis lirik lagu Bajau untuk rakaman.
“Saya bersetuju kerana minat dalam bidang ini tidak pernah pudar,” katanya yang berhasrat mempelbagaikan genre lirik lagu dihasilkan termasuk menerapkan muzik serta melodi lagu tradisional Bajau seperti irama ‘runsai’, ‘tinggayun’ dan ‘tigad-tigad’.
Turut menjadi impian Mohd Azrone agar suatu hari nanti ada artis popular tanah air sudi merakamkan lagu ciptaannya, selain turut mengakui pernah dihubungi komposer terkenal Julfekar Ahmad Shah untuk berkolaborasi.
“Mungkin ini peluang untuk saya merealisasikan impian yang terpendam sekian lama,” katanya.
— BERNAMA