Home Berita Rumah Mesra SMJ terus dilaksanakan untuk rakyat selagi Kerajaan GRS memerintah

Rumah Mesra SMJ terus dilaksanakan untuk rakyat selagi Kerajaan GRS memerintah

Dr Joachim menandatangani plak rumah SMJ sambil disaksikan oleh (dari kiri) Tinus, Dounis, isteri Dr Joachim, Datin Seri Lindah Ewit dan penerima rumah SMJ, Lasuin Soili.

Dr Joachim….Kerajaan tidak mahu rumah SMJ lewat siap, kontraktor yang melengah-lengahkan pembinaan akan disenaraihitam.

RANAU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah melaksanakan pelbagai usaha untuk membantu rakyat miskin termasuk membina Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk rakyat yang memerlukan.

Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, selagi Kerajaan Negeri GRS memerintah, program Rumah Mesra SMJ ini akan diteruskan demi membantu rakyat yang memerlukan.

“Setiap DUN akan diperuntukkan 20 buah Rumah Mesra SMJ dan rumah yang telah siap ini merupakan rumah yang dibina sejak 2022 lagi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang itu pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra SMJ di Kampung Merungin pada Jumaat (12 April).

Turut hadir, Pegawai Daerah Ranau Tinus Saiman, Pegawai Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Kundasang, Dounis Sani, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri, Yubidi Gompoyo dan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang.

Joachim (tengah) menyerahkan simbolik kunci kepada Lasuin Soili, bagi mewakili penerima rumah SMJ dalam DUN Kundasang sambil disaksikan oleh Tinus (tengah) bersama penerima yang lain dan tetamu yang hadir.

Dr Joachim berkata Kerajaan Negeri telah menetapkan bahawa mana-mana kontraktor yang melengah-lengahkan pembinaan Rumah Mesra SMJ akan disenaraihitamkan (blacklisted).

“Kerajaan tidak mahu rumah-rumah ini lewat disiapkan. Terdapat kontraktor yang melengah-lengahkannya, maka mereka itulah yang akan disenaraihitamkan.

“Kita akan melihat punca kelewatan pembinaan rumah sama ada kerana cuaca atau jarak lokasi jauh dan mereka (kontraktor) juga akan diberikan elaun khas,” katanya ketika ditemui media pada majlis tersebut.

Selepas itu, Dr. Joachim mengunjungi  rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun serta beberapa lagi rumah dalam DUN Kundasang.

Exit mobile version