Home Berita Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah – Hajiji

Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah – Hajiji

Hajiji menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 untuk penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2024 kepada Datuk Muguntan Vanar.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menghargai peranan dan kerjasama media selama ini terutama dalam memberi laporan berkaitan segala usaha yang telah, sedang dan akan diambil oleh kerajaan di negeri ini, termasuklah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pengamal media di negeri ini diminta untuk terus memberi sokongan dan membantu dalam melaporkan program yang dilaksanakan kerajaan agar dapat diketahui oleh rakyat di peringkat akar umbi.

“Sebab itu, sebagai tanda sokongan berterusan dan menghargai sumbangan media di Sabah, saya telah membuat keputusan pada tahun 2022 untuk meningkatkan jumlah sumbangan kerajaan negeri bagi penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu daripada RM60,000 sebelum ini kepada RM100,000.

“Jumlah yang sama juga diberikan bagi penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu pada tahun ini. Peningkatan sumbangan ini juga adalah pengiktirafan kerajaan negeri kepada media sebagai salah satu rakan kongsi yang penting dalam membantu menyebarkan dasar dan pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Aidilfitri Ketua Menteri bersama Media 2024 di sini pada Isnin.

Hajiji berkata, media turut memainkan peranan penting dalam usaha membangunkan rakyat dan negeri.

Katanya, menerusi laporan media ia dapat menjadi antara sumber maklumat kepada kerajaan untuk mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi, selain rintihan rakyat.

“Saya juga meminta media supaya mengamalkan sikap bertanggungjawab, profesional dan beretika dalam menyampaikan laporan agar rakyat tidak keliru hingga menimbulkan rasa bimbang.

“Oleh itu, saya menggesa media arus perdana supaya menyediakan berita yang tepat dan berfakta bagi menangkis pelbagai berita palsu yang dilaporkan di media sosial,” katanya.

Mengenai sambutan raya bersama media itu, Hajiji berkata majlis itu adalah sebagai tanda terima kasih dan menghargai peranan penting pengamal media sama ada media cetak, elektronik dan portal dalam membuat liputan program-program dan aktiviti anjuran kerajaan negeri.

Sempena majlis itu, Hajiji turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM100,000 untuk penganjuran Anugerah Kewartawanan Kinabalu 2024 kepada Presiden Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong; Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai; Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharram; Pengarah Media dan Komunikasi, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Lucy Irene Yong; Presiden Kota Kinabalu Journalists Association (KKJA), Jimmy Goh; Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah, Salmah Hashim dan Pengarah Jabatan Penerangan Malaysa, Sabah, Jainisah Mohd Noor.

Lebih 250 pengamal media termasuk ketua-ketua biro dan pengarang menghadiri majlis berkenaan.

Exit mobile version